‘Yong Choh' kembali ke hutan

‘Yong Choh’ kembali ke hutan

HARIMAU Malaya yang diberi nama Yong Choh dilepaskan semula ke habitat semula jadi dalam satu Majlis Perasmian Tongkang Pemindahan Hidupan Liar dan Pelepasan Hidupan Liar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Selepas diselamatkan daripada konflik manusia dan hidupan liar serta menjalani proses rehabilitasi, seekor Harimau Malaya yang dinamakan Yong Choh kembali mengaum di alam rimba menerusi pelepasan semula ke habitat semula jadi secara saintifik dan terancang.

Pelepasan Harimau Malaya betina berusia kira-kira tujuh tahun itu merupakan detik bersejarah dalam usaha pemuliharaan spesies berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Yong Choh ditangkap di Kampung Choh, Sungai Siput, Perak pada 22 Julai lalu selepas terlibat dalam konflik manusia dan hidupan liar sebelum ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk menjalani proses rehabilitasi.

“Yong Choh selesai menjalani pemeriksaan kesihatan meliputi pemeriksaan veterinar, persampelan darah dan pemeriksaan penyakit. Ia disahkan sihat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)  dan boleh dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” katanya pada Majlis Perasmian Tongkang Pemindahan Hidupan Liar dan Pelepasan Hidupan Liar di Taman Negara Terengganu, Tasik Kenyir, di sini.

Arthur berkata, selain Yong Choh, gajah yang pernah terlibat dalam konflik manusia dan hidupan liar turut dilepaskan semula ke habitat semula jadi menerusi program berkenaan.

Katanya, usaha itu adalah langkah strategik Perhilitan dalam memperkukuh pemuliharaan spesies Harimau Malaya dan Gajah Asia.

“Program ini bukan sahaja dapat meningkatkan populasi hidupan liar di habitat asal, malah berperanan mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta menambah kepelbagaian genetik populasi hidupan liar yang dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merasmikan tongkang pemindahan hidupan liar yang digunakan bagi menyokong operasi pelepasan hidupan liar, khususnya spesies bersaiz besar seperti gajah ke habitat semula jadi.

Tongkang berkenaan dinamakan Ele Max (Elephas maximus @ Kenyir), bersempena nama saintifik Gajah Asia, Elephas maximus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×