YAN: Seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang melintas jalan di Yan Kecil, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, mangsa, Siti Aminah Man, 69, dalam perjalanan dari sebuah pondok pengajian didiaminya menuju ke sebuah gerai yang terletak di seberang jalan untuk membeli nasi lemak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Aikap Dunding berkata, mangsa dipercayai dilanggar sebuah MPV jenis Mitsubishi Xpander dipandu seorang jururawat dari arah Guar Cempedak.
“Akibat pelanggaran mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat, manakala jururawat berumur 45 tahun dirakam keterangannya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi 04-4655222 atau ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan. – UTUSAN











