Unit Integriti perlu jadi rakan strategik, bukan sekadar urus aduan

Unit Integriti perlu jadi rakan strategik, bukan sekadar urus aduan

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Integriti dalam setiap organisasi perlu diperkasakan sebagai rakan strategik kepada pihak pengurusan, bukan sekadar berperanan mengurus aduan dan pematuhan selepas berlakunya sesuatu pelanggaran.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan usaha membanteras rasuah tidak hanya bersifat reaktif, sebaliknya bermula dengan mengenal pasti risiko lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem serta membina budaya integriti dalam organisasi.

Menurutnya, kejayaan agenda antirasuah tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan, pertuduhan atau sabitan, sebaliknya sejauh mana ruang berlakunya rasuah dapat ditutup dan kelemahan tatakelola dapat diperbaiki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Unit Integriti tidak seharusnya dilihat hanya sebagai unit yang mengurus aduan dan pematuhan selepas berlaku sesuatu pelanggaran.

“Sebaliknya, Unit Integriti perlu menjadi rakan strategik kepada pengurusan dalam mengenal pasti risiko lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem dan membina budaya integriti dalam organisasi,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali ke-5 bagi tahun 2026, di sini hari ini.

Johari berkata, perkembangan teknologi, ekonomi digital, transaksi rentas sempadan, penggunaan data raya dan kecerdasan buatan (AI) turut mewujudkan bentuk serta modus operandi baharu rasuah yang perlu difahami.

“Rasuah bukan lagi semata-mata berkaitan pemberian atau penerimaan suapan secara konvensional.

“Kelemahan tatakelola, konflik kepentingan, ketirisan sumber serta kelemahan kawalan dalaman juga boleh membuka ruang kepada salah guna dan rasuah.

“Maka, usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya bersifat reaktif. Pencegahan perlu bermula dengan mengenal pasti kelemahan sistem, memperkukuh tatakelola serta membina budaya integriti dalam setiap organisasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan berkenaan penting kerana usaha membanteras rasuah perlu disokong ilmu, data dan penyelidikan yang boleh diterjemahkan kepada penambahbaikan sistem serta amalan.

Katanya, perkembangan teknologi termasuk analitik data dan AI juga membuka ruang baharu untuk meningkatkan ketelusan, mengenal pasti risiko lebih awal dan memperkukuh proses membuat keputusan.

“Namun, teknologi hanyalah alat. Pada akhirnya, kekuatan sesebuah sistem tetap bergantung kepada manusia yang mengendalikannya, serta nilai integriti, amanah dan tanggungjawab yang menjadi pegangannya,” katanya.

Beliau turut berkata mekanisme semak dan imbang di Parlimen terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh tatakelola, ketelusan dan akauntabiliti institusi awam.

Katanya, pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat yang mengetengahkan 273 isu baharu berkaitan pengurusan kewangan dan tatakelola di peringkat Persekutuan serta negeri merupakan antara usaha berkenaan.

“Pada masa yang sama, peranan semak dan imbang Parlimen terus diperkukuh melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang meneruskan prosiding berkaitan pengurusan dan penggunaan wang awam.

“Usaha ini mencerminkan peranan Dewan Rakyat yang bukan hanya menjadi medan perbahasan dan penggubalan undang-undang, tetapi turut memainkan fungsi penting dalam memastikan akauntabiliti, ketelusan dan tatakelola yang baik terus menjadi asas pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata pencegahan rasuah perlu bermula sebelum sesuatu kes berlaku, termasuk menerusi tatakelola yang baik, sistem kawalan berkesan, pendidikan, budaya kerja dan nilai yang ada dalam setiap individu.

“Apabila institusi kita kukuh, tatakelola dilaksanakan dengan baik dan integriti menjadi sebahagian daripada budaya organisasi, ruang untuk berlakunya rasuah dapat dipersempitkan.

“Saya percaya Unit Integriti boleh diperkasakan pengurusannya, diberikan sokongan yang sewajarnya dan hasil penyelidikan dimanfaatkan dalam membuat keputusan. Kita akan mempunyai suatu ekosistem pencegahan rasuah yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×