UMNO cenderung runding terus dengan Pas, Abdul Hadi ucap 'terima kasih'

UMNO cenderung runding terus dengan Pas, Abdul Hadi ucap ‘terima kasih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: “Terima kasihlah.”

Demikian reaksi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kecenderungan UMNO untuk mengadakan rundingan terus dengan kepemimpinan Pas bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pendekatan Pas adalah mengutamakan kepemimpinan Melayu Islam disusuli bukan Islam yang tidak ekstrem yang mana ia hampir sama dengan konsep diperjuangkan UMNO.

Ditanya situasi parti politik lain termasuk Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pas berhubung perkara tersebut, beliau berkata, ia terserah kepada mereka.

“Kena tanya dialah (parti-parti lain). Dia terima atau tidak prinsip itu. Kalau tidak terima konsep itu, kita tidak terimalah,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu ditanya berhubung pendekatan UMNO yang dijangka memberi lebih tumpuan kepada rundingan secara terus dengan kepemimpinan Pas berbanding melihat kerjasama dalam konteks PN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, kecenderungan itu semakin jelas berdasarkan pandangan yang disuarakan perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru- baru ini.

Beliau berkata, walaupun UMNO sebelum ini mengadakan perundingan dengan Pas dan PN dalam menghadapi pilihan raya, pandangan yang dibawa perwakilan kali ini lebih menjurus kepada rundingan bersama kepimpinan Pas.

Bagaimanapun kata beliau, keputusan mengenai bentuk rundingan dan pihak yang terlibat akan ditentukan kepemimpinan parti berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×