PUTRAJAYA: Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran di bahagian dapur sebuah kafe di Menara Seri Wilayah, Presint 2, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Putrajaya, Muhamad Haziq Hazmi berkata, api berjaya dikawal dan dipadamkan dalam masa 13 minit.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 8.03 pagi berhubung kejadian itu.
“Susulan panggilan itu, dua Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 digerakkan ke lokasi bersama 14 anggota.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.04 pagi, kira-kira satu minit selepas panggilan kecemasan diterima,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran hanya melibatkan bahagian dapur kafe dan tidak menjejaskan struktur utama bangunan.
Muhamad Haziq berkata, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca haba atau kebakaran yang masih aktif.
“Kerja-kerja pengudaraan turut dilaksanakan dengan mengaktifkan exhaust fan sedia ada serta menggunakan portable exhaust fan bagi membantu mengeluarkan asap dan haba dari kawasan terlibat,” katanya.
Katanya, operasi kemudian diisytiharkan terkawal pada pukul 8.16 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.
Jelasnya lagi, jerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.15 pagi.
“Tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya. – UTUSAN











