Tiga pelakon teater persenda rukun negara ditahan

Tiga pelakon teater persenda rukun negara ditahan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terlibat dalam sebuah video pementasan yang didakwa mengandungi kandungan menyentuh institusi raja dan Rukun Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata keterangan kesemua individu berusia antara 28 hingga 47 tahun itu diambil selepas mereka ditahan di Selangor dan Johor pada 19 September lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati seorang daripada individu yang terbabit dalam video tular itu telah meninggal dunia, manakala seorang lagi kini berada di United Kingdom berdasarkan rekod Jabatan Imigresen.

Jelasnya, tiada sebarang kandungan berkaitan persembahan tersebut ditemukan dalam gajet milik kesemua individu terbabit malah rakaman itu juga tidak dimuat naik ke mana-mana platform.

“Oleh itu, kita kini sedang menyiasat sumber video yang telah ditularkan tersebut, termasuk meneliti alamat atau ID yang berkaitan bagi mengenal pasti pihak yang menularkannya.

“Susulan penularan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, hari ini.

Kumar berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 2018 di Penang Performing Arts Centre (Penang PAC) yang telah ditutup pada 2024.

“Pada ketika itu, persembahan tersebut merupakan satu persembahan tertutup dan mereka diberikan masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk membuat persembahan.

“Siasatan juga mendapati terdapat pemilihan bagi persembahan terbaik dan sebagainya. Bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam siasatan,” jelasnya.

Tambah Kumar, pengarah persembahan tersebut juga dipercayai merupakan seorang individu dari United Kingdom.

“Mereka telah memberikan kerjasama dan peralatan mereka juga telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang barang atau bahan yang berkaitan ditemukan.

“Buat masa ini, tiada keperluan untuk mereka direman kerana mereka telah memberikan kerjasama dan siasatan masih berjalan,” jelasnya.

Ditanya, sama ada tindakan akan diambil terhadap para pelakon tersebut, Kumar berkata, perkara itu masih dalam siasatan. 

“Kita akan melengkapkan siasatan dan seterusnya merujuk perkara ini kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan serta nasihat selanjutnya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, sebuah video pementasan mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular sejak kelmarin.

Orang ramai mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas ke atas pelaku susulan video yang mengundang kemarahan banyak pihak itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×