SEREMBAN: Seorang penduduk di Taman Jayamas di sini mengalami kerugian selepas tiga buah kereta miliknya rosak selepas dihempap runtuhan tembok pagar konkrit sebuah rumah awal pagi tadi.
Pemilik kenderaan itu, May Lim, 58, berkata, kesemua keretanya itu diletakkan di luar rumah dan kejadian disedari selepas terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi penggera kereta anaknya yang tidak berhenti berbunyi.
Menurutnya, anaknya sebelum itu sudah cuba mematikan penggera berkenaan namun tidak berjaya sebelum mereka keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Apabila kami melihat di luar rumah, tembok pagar batu rumah jiran sudah runtuh dan menghempap sebuah kereta Toyota Vios milik anak saya serta Perodua Viva yang diparkir di luar rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
May berkata, bagaimanapun kejadian berkenaan tidak mengakibatkan apa-apa kecederaan atau kehilangan nyawa.
Katanya, anaknya kebiasaannya meletakkan kereta di ruang parkir rumah namun pada hari kejadian kenderaan itu diparkir di luar rumah.
“Tidak sangka pula kejadian seperti ini berlaku. Namun, jiran juga sudah menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab atas kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, pemilik rumah, V. Tiagarajan, 43, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar bunyi kuat seperti guruh diikuti bunyi runtuhan.
“Saya terus keluar untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati bahagian tepi tembok pagar rumah yang sedang dibina runtuh dan menghempap tiga kenderaan jiran yang diparkir di luar.
“Walaupun bukan harta benda keluarga saya yang rosak, saya tetap berasa susah hati apabila melihat kenderaan jiran mengalami kerosakan,” katanya.
Tiagarajan berkata, tembok pagar berkenaan masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.
Katanya, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak kontraktor manakala laporan polis turut dibuat.
“Nasib baik kejadian ini tidak melibatkan nyawa. Apabila melihat kesan runtuhan, ia memang agak menakutkan.
“Saya juga tidak boleh menyalahkan kontraktor kerana struktur tanah yang runtuh,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong turut hadir di lokasi bagi melihat keadaan runtuhan berkenaan. – UTUSAN










