PETALING JAYA: Sebanyak 38 kawasan di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 12 tengah hari.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan merekodkan bacaan tertinggi iaitu Johan Setia, Selangor dan IPD Serian, Sarawak, masing-masing dengan IPU 185.
Ia diikuti Cheras, Kuala Lumpur dengan bacaan IPU 174; Nilai, Negeri Sembilan (172); Shah Alam dan Tangkak, Johor (170), manakala Putrajaya serta Pasir Gudang, Johor masing-masing merekodkan IPU 169.
Menurut JAS, tiada kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik, manakala 30 kawasan berada pada tahap sederhana.
“Berdasarkan rekod pemantauan JAS pada pukul 12 tengah hari, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
“Keadaan ini berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam, sebanyak 800 titik panas dikesan di Kalimantan, 85 di Sumatera dan 16 di Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, sembilan titik panas dikesan di Sarawak, enam di Sabah dan satu di Selangor.
ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana dikesan di Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan Vietnam dan Kemboja hari ini.
Pada masa sama, jerebu sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.
Susulan keadaan itu, JAS memperkukuh pemantauan dan tindakan di lapangan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) serta Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1.
JAS berkata, pihaknya turut memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di Sarawak, terutama membabitkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang berisiko tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.
“Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar dengan kira-kira 1.3 hektar atau 87 peratus berjaya dipadamkan, manakala baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
“JAS Sarawak akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan keluasan kawasan terjejas.
“Pemantauan kualiti udara turut dilaksanakan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap kualiti udara setempat,” katanya.
JAS turut memberi amaran, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pembakaran terbuka yang berpunca daripada aktiviti manusia.
“Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai diminta melaporkan kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727,” katanya. – UTUSAN










