Tak kira parti, semua dijemput Himpunan Perpaduan Ummah - Akmal Saleh

Tak kira parti, semua dijemput Himpunan Perpaduan Ummah – Akmal Saleh

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak pernah menutup mahu pun menghadkan Perhimpunan Perpaduan Ummah khusus kepada mana-mana parti atau organisasi tertentu sahaja.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, himpunan yang diadakan itu melibatkan semua pihak tanpa mengira parti atau bangsa.

“Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah, maka semua dijemput untuk bersama.

“Hanya yang kita katakan, penggerak utama untuk himpunan ini adalah dari UMNO dan Pas selaku dua parti Melayu Islam terbesar dalam tanah air kita. Himpunan Perpaduan Ummah ini adalah himpunan kita semua,” katanya di Facebook miliknya, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi respon kepada saranan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali yang meminta supaya pintu Himpunan Perpaduan Ummah dibuka kepada semua orang Melayu Islam tanpa mengira latarbelakang parti masing-masing.

Beliau berkata, UMNO dan Pas perlu menjadikan himpunan itu sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar iaitu kesedaran bahawa perbezaan parti tidak semestinya menjadikan semua musuh.

Beliau berkata, UMNO dan Pas dilihat bersedia untuk membuka pintu namun parti lain juga perlu bersedia melangkah masuk.

“Jangan tutup pintu itu hanya kerana ego dan sejarah lama.

“Kita tak perlu bubarkan semua parti untuk bersatu. Kita hanya perlu setuju bahawa dalam perkara yang melibatkan masa depan bangsa, agama dan negara, kepentingan bersama mesti mengatasi kepentingan parti dan individu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×