PETALING JAYA: Tahanan di rumah bukan sahaja bermaksud seseorang banduan tidak dibenarkan keluar dari kediamannya sepanjang tempoh tahanan, malah tidak boleh menjalani kehidupan bebas serta wajib mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, perintah tahanan di rumah mempunyai syarat tersendiri yang perlu dipatuhi banduan, namun beliau masih boleh melakukan aktiviti tertentu dalam kawasan kediamannya berdasarkan ketetapan berkenaan.
“Perintah tahanan di rumah mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri dan banduan wajib mematuhinya.
“Akan tetapi seseorang itu boleh buat apa saja dalam kawasan rumahnya berdasarkan ketetapan tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, tahanan rumah adalah bentuk pelaksanaan hukuman apabila seseorang banduan menjalani baki hukuman di kediaman yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat dan kawalan yang ditentukan pihak berkuasa.
Katanya, peruntukan Akta Penjara 1995 yang sememangnya mempunyai peruntukan konsep tahanan rumah atau house arrest.
“Definisi penjara di bawah Seksyen 2 Akta Penjara 1995 termasuk rumah dan bangunan. Di bawah Seksyen 3 pula, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mewartakan mana-mana rumah atau bangunan sebagai penjara bagi membolehkan banduan menjalani hukuman.
“Seksyen 26 Akta Penjara pula memperuntukkan bahawa Perintah Tetap Ketua Pengarah Penjara adalah terpakai bagi tatacara pengendalian dan pergerakan banduan yang menjalani tahanan rumah. Maka itu, pihak penjara boleh mewujudkan perintah tetap sebagai mekanisme untuk mengendalikan tahanan rumah,” katanya.
Menurut Yaacob lagi, sebagai Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara selama dua tahun, beliau menyediakan Pendapat Peguam Negara untuk Lembaga Pengampunan seluruh negara di peringkat Persekutuan dan negeri.-UTUSAN











