PETALING JAYA: Syarikat pembekal Baja 3 gagal memenuhi komitmen dan terma yang ditetapkan sehingga menyebabkan bekalan bahan tersebut lewat sampai ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kelewatan tersebut.
Beliau berkata, isu kelewatan pembekalan baja perlu disiasat secara telus dan menyeluruh, manakala Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan ini dapat diperjelaskan.
“Berdasarkan rekod, syarikat pembekal gagal memenuhi komitmen penghantaran yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan kelewatan bekalan kepada pesawah.
“Kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah, malah turut memberikan imej negatif kepada KPKM dan kerajaan Madani,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini hari ini berkata, jika terdapat sebarang salah laku dikesan, tindakan pembatalan kontrak bekalan termasuk pendakwaan mengikut jalur perundangan negara terhadap pelaku atau mana-mana syarikat terlibat perlu dilakukan.
Tegasnya permasalahan kelewatan itu menyebabkan golongan pesawah menjadi mangsa dan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan berulang berikutan kesannya akhirnya ditanggung rakyat yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.
Mohamad berkata, KPKM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kegagalan syarikat berkenaan selaras dengan peraturan serta terma kontrak.
“Dalam masa yang sama, keutamaan saya dan KPKM adalah memastikan baki bekalan Baja 3 dapat disalurkan kepada pesawah dengan segera.
“Pemantauan juga akan diperketatkan supaya masalah seperti ini tidak berulang di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










