Nafas selesai hantar 10,500 metrik tan Baja 3 dalam tempoh 10 hari

Nafas selesai hantar 10,500 metrik tan Baja 3 dalam tempoh 10 hari

KAKITANGAN Nafas dan PPK melaksanakan proses penghantaran Baja 3 yang dikeluarkan oleh kilang MNFSB di Gurun. - IHSAN NAFAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Sebanyak 10,500 metrik tan Baja Padi Sebatian Tambahan atau Baja 3 agi Musim 1/2026 diedarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam tempoh 10 hari.

Pengurus Besar Nafas, Muhammad Faris Arriffin berkata, penghantaran kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA itu berjaya dilakukan melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB).

“Melalui penjajaran logistik tanpa henti, sebanyak 93 peratus atau 9,778 metrik tan yang bersamaan 391,116 beg berjaya disalurkan setakat petang semalam, dan baki keseluruhan 10,500 metrik tan selesai diagihkan sepenuhnya tengah hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Faris berkata, kejayaan menepati garis masa 10 hari membuktikan kepentingan pesawah mampu dibela apabila rantaian Nafas, MNFSB, Mada dan rangkaian 27 PPK bergerak serentak.

“Penyaluran berskala besar ini diagihkan terus kepada PPK selaku stokis strategik bagi menjamin input pertanian sampai ke tangan pesawah mengikut jadual penanaman yang kritikal sejurus menerima arahan pembekalan pada 3 September lalu.

“Bagi Nafas, 10,500 metrik tan ini adalah amanah untuk kebajikan pesawah dan ukuran sebenar operasi kami adalah kualiti produk dan ketepatan masa pembekalan,” katanya.

Tambahnya, keupayaan pembekalan disokong oleh kilang MNFSB di Gurun yang memiliki kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 360,000 metrik tan.

“Sebagai aset strategik Nafas, kilang ini memastikan keterjaminan bekalan input agromakanan negara kekal mampan dan responsif,” ujarnya.

Pada 2 September lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan, penghantaran baki bekalan kepada pesawah yang terjejas akan dilaksanakan MNFSB.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan surat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon penamatan perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. sebagai pembekal Baja 3 susulan kelewatan yang berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×