SEGi College, Mahsuri Dagang sedia 100 bento untuk warga polis

SEGi College, Mahsuri Dagang sedia 100 bento untuk warga polis

MOHD. Jazri Ikmal Hijaz (kanan) bersama Lee Swee Sake (depan, dua dari kanan) dan Leong-Mi-Chelle (depan, dua dari kiri) ketika sesi penyerahan kotak hidangan bento ayam masak tiga rasa hasil kerjasama antara Mahsuri Dagang dan SEGi College Pulau Pinang di IPD Timur Laut, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak 100 kotak hidangan bento ayam masak tiga rasa disediakan khusus untuk anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Hari Malaysia, esok.

Hidangan berkenaan disediakan menerusi kerjasama Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. dan SEGi College Pulau Pinang dengan pelajar Seni Kulinari institusi itu menyediakan sendiri menu berkenaan dengan menggunakan bahan-bahan segar.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, inisiatif berkenaan merupakan cara pihaknya menzahirkan penghargaan kepada anggota polis yang sentiasa bersedia memberikan khidmat demi keselamatan masyarakat.

“Kami melihat anggota polis sebagai antara wira yang sering berada di belakang tabir, namun, mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Negara kita secara keseluruhannya kekal aman dan selamat hasil komitmen mereka dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya selepas menyerahkan bento makanan itu di IPD Timur Laut, di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake.

Sementara itu, Pengetua SEGi College Pulau Pinang, Dr. Leong Mi-Chelle berkata, program berkenaan merupakan kerjasama CSR kedua antara SEGi College Penang dan Mahsuri Dagang.

“Ini merupakan kali kedua SEGi College bekerjasama dengan Mahsuri Dagang dalam program CSR. Pada tahun lalu, kami telah menjalankan program yang sama dengan menyediakan hidangan bento kepada golongan yang memerlukan di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, bagi program kali ini pula, pelajar kulinari menyediakan menu ayam masak tiga rasa menggunakan sos tiga rasa mahsuri, selain bahan-bahan segar.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran kulinari dalam suasana sebenar, malah memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada mereka.

“Kami berharap hidangan ini dapat dinikmati oleh para penerima dan pada masa sama memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×