KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahu menggunakan proses perbicaraan di mahkamah sebagai ruang untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan yang dihadapinya berkait Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau akan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keadilan dalam kes tersebut.
“Ini adalah perjalanan yang agak panjang dalam kes yang berkaitan dengan RCI Tabung Haji sejak daripada tahun 2018 sehingga sampai kepada tarikh yang pengumuman resmi (29 Julai).
“Saya akan membela diri saya di mahkamah nanti bagi perkara-perkara yang telah disebut, jadi kita tunggu perkembangan yang lain.
“Saya akan membersihkan nama saya. Ini adalah tempat terbaik untuk mendapat keadilan. Saya meyakini, insyaAllah mahkamah akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai membayar ikat jamin RM300,000 bagi tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan wang RM860,308,770.51 di antara antara 2015 hingga 2017.
Terdahulu, Jamil Khir, 65, mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan yang mendakwa dia sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyebabkan TH melupuskan harta miliknya.
Wang yang terlibat adalah RM42,942,074 bersamaan SAR44.170 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Jerai itu mendakwa, pertuduhan yang dihadapinya adalah berkaitan isu sewaan penginapan oleh TH bagi jemaah haji.
Katanya, penginapan merupakan antara komponen teras dalam pengurusan jemaah haji, justeru pendekatan ketika itu adalah mendapatkan sewaan hotel bagi tempoh panjang.
Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan mendapatkan kadar sewaan terbaik sekali gus membantu mengurangkan kos haji.
“Teras penting untuk jemaah haji ialah penginapan jadi saya mengambil pendekatan pada waktu itu untuk kita ‘lock’ hotel-hotel dalam tempoh dan jangka waktu yang panjang.
“Ia supaya kita mendapat pulangan harga ataupun ‘lock’ harga yang terbaik untuk mengurangkan kos haji dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN










