GEORGE TOWN: Simpanan Tabung Haji RM15,000 bukan ukuran mutlak seseorang sudah memenuhi syarat istito’ah atau kemampuan untuk menunaikan ibadah haji kerana penilaian syarak turut mengambil kira keperluan asas, nafkah tanggungan serta keadaan kewangan individu.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, seseorang yang mempunyai RM15,000 belum tentu dianggap benar-benar mampu sekiranya wang berkenaan merupakan satu-satunya simpanan untuk keperluan asas keluarga, rawatan, pendidikan anak atau membayar hutang.
Beliau menjelaskan, konsep kemampuan bukan sekadar melihat jumlah wang yang tersimpan dalam akaun, sebaliknya turut mengambil kira keperluan asas, nafkah tanggungan, kesihatan, keselamatan serta kemampuan sebenar seseorang untuk sampai ke tanah suci.
“RM15,000 boleh menjadi satu mekanisme pentadbiran bagi menilai kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah, tetapi ia tidak boleh disamakan secara mutlak dengan definisi kemampuan menurut syarak.
“Dalam fiqh, perbelanjaan haji hendaklah merupakan kemampuan yang melebihi keperluan asas dirinya dan mereka yang wajib dinafkahinya, mengikut perincian yang dibahaskan fuqaha,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan pendeposit yang mencapai simpanan minimum RM15,000 akan layak secara automatik berada dalam giliran menunaikan ibadah Haji menerusi sistem kelayakan baharu mulai 1 Januari 2029.
Pendekatan itu diperkenalkan menerusi Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah yang dilancarkan TH bagi menggalakkan umat Islam membuat persediaan kewangan lebih awal, konsisten dan terancang.
Mengulas lanjut, Mohd. Sukki berkata, prinsip kemampuan juga bermakna seseorang tidak sepatutnya memaksa diri menunaikan haji sehingga menyebabkan isteri dan anak-anak terabai dari segi nafkah atau keluarga berdepan kesempitan yang serius.
Dalam konteks Malaysia pula, katanya, kemampuan kewangan perlu dilihat bersama faktor lain seperti kuota, giliran dan kebenaran untuk menunaikan haji kerana seseorang yang mempunyai wang mencukupi tidak semestinya boleh terus berangkat pada tahun berkenaan.
‘’Justeru, terdapat perbezaan antara kemampuan kewangan untuk menunaikan haji dengan kemampuan sebenar untuk sampai ke tanah suci serta melaksanakan haji melalui sistem yang sah,’’ katanya.
Beliau berkata, orang yang belum mampu menunaikan haji tidak seharusnya berasa dirinya berdosa atau pintu Baitullah tertutup kerana kewajipan tersebut belum tertanggung ke atas mereka selagi syarat Istito’ah belum dipenuhi.
Menurutnya, keadaan kewangan seseorang juga boleh berubah apabila pendapatan meningkat, simpanan bertambah atau menerima bantuan dan tajaan yang mencukupi, menyebabkan status kemampuan itu perlu dinilai semula.
‘’Islam tidak mengajar seseorang menjual segala-galanya, mengabaikan keluarga atau berhutang sehingga membebankan semata-mata untuk mengejar gelaran ‘haji’. Haji ialah ibadah kepada Allah, bukan simbol status sosial,’’ katanya. – UTUSAN










