Remaja perempuan maut dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan PPAM

Remaja perempuan maut dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan PPAM

Remaja perempuan maut dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan PPAM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartment perumahan penjawat awam di Presint 5, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.33 malam di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling itu, mangsa yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 itu ditemui terbaring di bawah bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi panggilan kecemasan MERS 999 sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang tinggal bersama keluarganya di tingkat sembilan apartmen tersebut.

“Setibanya di lokasi, polis menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Aidi Sham berkata, bedah siasat dijadual dijalankan pada pukul 9 pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×