DUNGUN: Penyu belimbing atau Leatherback Turtle kembali mencuri perhatian apabila ‘raja penyu’ itu dikesan mendarat dan bertelur di Pantai Rantau Abang, di sini hari ini dengan menghasilkan 81 biji telur.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyu berkenaan adalah haiwan sama yang naik bertelur di kawasan pantai negeri ini, kira-kira dua minggu lalu di Pantai Gong Balai, Marang.
“Sebanyak 81 biji telur diambil pada pukul 4.45 pagi sebelum ditanam semula di kawasan penetasan yang ditetapkan pada pukul 6 pagi. Kemunculan semula ‘gergasi samudera’ ini dapat dikesan melalui jejak fizikal bersaiz besar yang ditinggalkan di atas pasir ketika naik ke pantai untuk bertelur.
“Saiz telur yang direkodkan adalah kira-kira lima sentimeter dan telur berkenaan diserahkan untuk ditempatkan di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang bagi tujuan penetasan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, telur berkenaan dijangka menetas dalam tempoh antara 50 hingga 70 hari, bergantung kepada keadaan dan proses pengeraman.
Menurutnya, telur tersebut dikutip oleh pemajak sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk dipindahkan ke kawasan penetasan yang lebih selamat.
Katanya, kemunculan penyu belimbing itu adalah perkembangan positif susulan penemuan 44 biji telur spesies sama di Pantai Marang pada 1 September lalu.
“Penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar di dunia dan kemunculannya semula di pesisiran pantai Terengganu selepas hampir sedekad tidak kelihatan adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada usaha pemuliharaan spesies ini,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan pantai dan tidak mengganggu penyu ketika haiwan berkenaan naik untuk bertelur.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan bunyi bising dan mengurangkan penggunaan cahaya di kawasan pantai yang menjadi lokasi penyu bertelur bagi mengelakkan haiwan berkenaan terganggu.
“Jika ternampak penyu belimbing naik untuk bertelur, orang ramai diminta tidak menghampiri atau mengganggunya dan segera melaporkan penemuan itu kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu,” katanya.
Dua penemuan telur penyu belimbing dalam tempoh kurang dua minggu itu sekali gus memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan spesies berkenaan di Terengganu, khususnya di Rantau Abang yang pernah terkenal sebagai antara lokasi utama pendaratan penyu belimbing. – UTUSAN










