Pertahan cara tradisional nisan kerek

Pertahan cara tradisional nisan kerek

ESAH Adam menuang manisan yang masih panas ke dalam kerek (daun mengkuang yang dilingkar menjadi bentuk bulat) untuk disejukkan semasa proses menghasilkan nisan kerek asli di Kampung Batangan, Marang, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Di sebalik seke­ping nisan kerek atau manisan dihasilkan sepenuhnya menggunakan nira kelapa yang manis, tersimpan 1,001 cerita tentang keringat, kemahiran dan wa­risan masyarakat Kampung Batangan di sini, yang dipertahan dari satu generasi ke satu generasi.

Daripada mayang kelapa disadap, air nira yang dikumpul sebelum dimasak dengan dapur arang selama kira-kira tiga jam, sehinggalah dituang ke dalam acuan daun mengkuang untuk mengeras, setiap proses menghasilkan nisan kerek memerlukan ketelitian dan kesabaran.

Lebih istimewa, kaedah tra­disional itu masih dipertahan oleh sebahagian pengusaha bagi memastikan rasa asli nisan kerek Kampung Batangan terus kekal biarpun zaman berubah.

EMPAT DEKAD PERTAHAN ‘NISANG PIOR’

Bagi Mohd. Azam Ismail, 74, dan isterinya, Esah Adam, 71, penghasilan nisan kerek bukan sekadar sumber pendapatan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak lebih 40 tahun lalu.

Setiap hari selepas menunaikan solat Subuh, Mohd. Azam ke sekitar rumahnya melakukan kerja yang mungkin dianggap berat bagi individu seusianya, iaitu memanjat pokok kelapa bagi mendapatkan air nira.

Warga emas itu memanjat pokok demi pokok untuk me­ngambil air nira yang ditadah daripada mayang kelapa. Baginya, usia bukan alasan untuk berhenti selagi badan masih mampu melakukan kerja tersebut.

“Alhamdulillah, dengan ku­drat tua yang ada, saya masih boleh panjat pokok kelapa untuk ambil air nira sebelum pro­ses seterusnya. Kalau tidak ambil air nira, kita tidak boleh buat nisan. Jadi selagi masih boleh panjat, saya akan buat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di rumahnya di Kampung Bata­ngan.

Selesai mengumpul air nira, tugas pasangan itu beralih kepada proses memasak yang memerlukan ketelitian dan me­ngambil masa yang lama.

Menurut Mohd. Azam, sekitar pukul 8 pagi, air nira yang dikumpul mula dimasak menggunakan dapur arang kira-kira tiga jam sehingga kandungan­nya menjadi pekat. Proses itu dilakukan secara perlahan-lahan bagi memastikan air nira mencapai tahap kepekatan sesuai sebelum dibentuk menjadi nisan kerek.

“Air nira kena masak betul-betul. Kalau tidak cukup masak, nisan tidak jadi elok. Kita tengok keadaan air itu, bila sudah pekat dan sesuai, barulah kita tuang ke dalam acuan,” katanya.

RAHSIA DAPUR ARANG

Menurut Mohd. Azam, penggunaan dapur arang masih di­kekalkan kerana kaedah ber­kenaan dipercayai memberikan rasa dan aroma tersendiri kepada nisan kerek. Selepas dimasak sehingga pekat, air nira di­tuangkan ke dalam acuan sebelum dibiarkan sejuk dan mengeras.

Nisan yang sudah siap kemudian dikeluarkan daripada acuan untuk dijual.

Katanya, acuan yang di­gunakan juga mempunyai cerita tersendiri apabila pasangan itu menggunakan pokok mengkuang yang ditanam sendiri sebagai bahan membuat acuan.

“Semua kami buat sendiri. Pokok mengkuang pun kami tanam sendiri untuk dijadikan acuan. Memang cara ini mengambil masa dan penat, tetapi kami sudah biasa. Kita mahu rasa nisan itu kekal macam dahulu,” katanya.

Sebanyak 10 pokok kelapa di sekitar rumah mereka dimanfaatkan bagi mendapatkan bekalan air nira manakala penghasilan mencecah kira-kira 100 keping nisan sehari. Ia dijual RM1.50 sekeping secara runcit manakala harga borong ditawarkan lebih rendah bergantung kepada kuantiti pembelian.

PUAS HATI HASIL TANGAN SENDIRI

Mohd. Azam berkata, dia tidak pernah mengambil pekerja untuk membantu menghasilkan nisan kerek kerana mahu me­nguruskan sendiri setiap pe­ringkat proses bersama isterinya.

Katanya, kepuasan menghasilkan sendiri nisan kerek dan melihat pelanggan menikmati produk berkenaan menjadi an­tara sebab mereka terus bertahan sehingga kini.

“Kalau orang makan dan kata sedap, kita rasa puas hati. Kita mahu pelanggan rasa nisan kerek asli dan ia lebih sedap. Walaupun cara tradisional ini agak rumit dan mengambil masa, kita puas hati apabila dapat buat sendiri,” katanya.

Bagi pasangan itu, mempertahan kaedah lama bukan kerana tidak mahu berubah, sebaliknya mereka bimbang penggunaan kaedah terlalu moden boleh menghilangkan keistimewaan rasa dan aroma nisan kerek asli.

Lebih empat dekad mengusahakannya juga menyebabkan Mohd. Azam sudah arif mengenai setiap peringkat penghasilan nisan, daripada memilih air nira sehinggalah menentukan tahap kemasakan sebelum dituang ke dalam acuan.

ANAK-ANAK TIDAK WARISI KEMAHIRAN

Namun, di sebalik ketekunan pasangan itu mempertahan pembuatan nisan kerek, mereka berdepan persoalan mengenai siapa yang akan meneruskan legasi tersebut selepas mereka tidak lagi berupaya bekerja.

Mohd. Azam dan Esah mempunyai tujuh cahaya mata, namun semua anak mereka mempunyai pekerjaan tetap dan tidak berminat mengambil alih pembuatan nisan kerek. Keada­an itu menyebabkan pasangan berkenaan terus bergantung kepada kudrat sendiri untuk memastikan perusahaan kecil tersebut berjalan.

Bagi Mohd. Azam, dia tidak tahu sampai bila mampu memanjat pokok kelapa atau berdiri berjam-jam di hadapan dapur arang, namun selagi tenaga masih ada, kerja itu diteruskan.

Siti Nur Akhmar Ramli mengambil air manisan nira yang terkumpul dalam botol plastik yang diikat pada mayang pokok kelapa di Kampung Jenang, Terengganu.

MAT SABRI SAMBUNG LEGASI ORANG TUA

Bagi anak jati Kampung Batangan, Mat Sabri Husin, 52, dia pula antara generasi yang meneruskan legasi pembuatan nisan kerek daripada kedua-dua ibu bapanya. Perusahaan itu diusahakan sejak 14 tahun lalu bersama isterinya, Saharah Awang, 48.

“Kami membuat tiga jenis nisan kerek iaitu nisan kerek nira yang paling susah untuk dihasilkan kerana menggunakan 100 peratus air nira tanpa sebarang campuran. Selain itu, ada nisan kerek nira dicampur gula dan nisan kerek gula. Ketiga-tiganya mempunyai permintaan, malah ada pemborong dari Pulau Pinang dan Johor yang membuat tempahan dengan saya,” katanya.

Mat Sabri berkata, kebanyakan pengusaha nisan kerek di kampung itu mempunyai pokok kelapa sendiri bagi mendapatkan bekalan air nira. Kini dia mempunyai lebih 100 pokok kelapa yang menghasilkan air nira diperlukan untuk pengeluaran.

“Saya membuat nisan kerek tiga kali seminggu dengan kira-kira 200 kerek sehari,” katanya.

JADI ‘MOK NYADAT’ CARI NIRA

Jika Mohd. Azam mempertahan nisan kerek di peringkat penghasilan, di kampung berdekatan iaitu Kampung Je­nang pula, Siti Nur Akhmar Ramli, 35, memastikan bekalan bahan mentah itu terus tersedia.

Sudah sembilan tahun ber­gelar ‘mok nyadat’, Siti Nur Akhmar mengambil alih kemahiran menyadap (menoreh) nira daripada arwah bapanya, Ramli Mustaffa. Kerja tersebut dilakukannya bersama kakaknya, Siti Nur Aishah, 42, dan adiknya, Siti Norafifah, 31, yang kini me­ngusahakan kira-kira 150 pokok kelapa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×