PETALING JAYA: Penyanyi, Marsha Milan, mendedahkan bahawa kritikan yang didakwa terlalu berlembut dalam program Borneo Rising disebabkan pertandingan masih di peringkat awal dan sebahagian besar peserta sudah pun mempunyai mutu vokal yang kukuh.
Marsha atau Marsha Milan Londoh, 41, berkata, tiada keperluan untuk dia bersikap tegas atau menyampaikan komen yang kasar sekiranya persembahan yang dipersembahkan oleh peserta berada pada tahap yang memuaskan.
“Pertama sekali, kalau ditonton setiap minggu, peserta-peserta ini sebenarnya semuanya bagus. Sampai ke satu tahap saya rasa mereka boleh jadi pelapis yang seterusnya dalam industri.
“Bukanlah saya nak kata saya ini terlalu positif, saya masih lagi memberikan input dan teguran untuk mereka ke peringkat seterusnya. Cuma pada pandangan saya, ia masih terlalu awal dan kesalahan mereka lakukan itu masih boleh diterima.
“Tiada gunanya kalau kita nak bercakap dengan garang atau kasar sedangkan persembahan mereka tidaklah begitu teruk,” katanya.
Marsha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran video muzik Cinta Di Akhir Garisan 2.0, pada Khamis.
Menyentuh mengenai kebebasan memberikan ulasan, Marsha menegaskan bahawa pihak produksi program tersebut tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau sekatan kepada juri untuk menyampaikan pandangan secara jujur.
“Sebagai seorang manusia, kalau saya sendiri dikomen secara kasar tanpa ada bahasa yang berlapik, saya pun rasa susah nak terima. Sebab itulah saya pilih untuk berlapik setiap kali berikan komen.
“Kalau kita beri teguran dengan cara tak elok, penerimaan mereka pun jadi tak elok. Tapi kalau ada perkara serius yang betul-betul kena tegur, nantikan di belakang tabir,” katanya.
Untuk rekod, Borneo Rising ialah sebuah program realiti nyanyian terbaharu di Malaysia yang mengangkat dan mencungkil bakat vokal luar biasa daripada kalangan anak muda di Sabah dan Sarawak.
Menampilkan 12 orang peserta berentap selama 8 episod dengan fokus kepada kekuatan serta ketinggian vokal dan pemarkahan ditentukan oleh 80% juri profesional dan 20% undian penonton.











