KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati, terdapat pemilik kenderaan mewah melakukan kesalahan serius termasuk memiliki dua atau tiga kenderaan mewah menggunakan nombor pendaftaran sama.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan itu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa semasa kenderaan terbabit berada di atas jalan raya.
“Kes sebegini kita ambil tindakan berlainan, iaitu saman di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan pemalsuan dokumen. Kita ambil tindakan serius,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli memberitahu, trend terkini menunjukkan kesedaran dalam kalangan pemilik ‘supercar’ untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans semakin meningkat berbanding pemilik kenderaan mewah lain.
Katanya, semakan rekod mendapati kes melibatkan kenderaan mewah kategori ‘supercar’ dalam sebulan tidak sampai 10 kes.
“Paling banyak tidak bayar saman dan culas memperbaharui cukai jalan adalah pemilik kereta BMW, Mercedes, Alphard dan Vellfire. Boleh dikatakan 95 peratus pemilik ‘supercar’ sudah bayar saman dan cukai jalan.
“Perlu ditegaskan bahawa harga, jenama atau status pemilikan kenderaan tidak memberi sebarang keistimewaan dalam sudut penguatkuasaan undang-undang. Kemampuan memiliki kenderaan mewah mesti disertai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau turut memuji golongan marhaen yang disifatkan lebih bertanggungjawab menyelesaikan saman tertunggak sungguhpun berpendapatan kecil berbanding pemilik-pemilik kenderaan mewah daripada golongan T20. –UTUSAN











