PETALING JAYA: Pemandu Honda Civic yang merempuh tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Bandar Dalam dekat sini, semalam positif empat jenis dadah.
Kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu tular di platform Threads.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, berdasarkan video tular, pihaknya berjaya mengesan semua pemandu terlibat dan meminta mereka hadir ke balai polis bagi membuat laporan.
“Pemandu Honda Civic berusia 30 tahun disyaki gagal mengawal kenderaan dan memandu secara melulu sebelum terbabas lalu melanggar tiga kenderaan lain.
“Tiga kenderaan yang dirempuh ialah Proton Saga yang dipandu lelaki warga Algeria berusia 46 tahun dan Nissan Almera yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun. Sebuah lagi Honda Civic yang dipandu wanita tempatan berusia 51 tahun turut dilanggar dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek hadir ke balai polis dan membuat laporan polis pada pukul 10.39 malam hari sama.
“Hasil ujian yang dijalankan ke atas pemandu itu didapati negatif alkohol.
“Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis benzo, methamphetamine, ketamin dan amphetamine yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN










