KUALA LUMPUR: Operasi membawa lima mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak kini giat dijalankan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi berkenaan diteruskan pasukan penyelamat di lapangan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pihak Hospital Miri telah bersedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk melengkapkan proses pengecaman identiti secara rasmi apabila jenazah tiba di hospital kelak.
“Sebarang pengesahan lanjut hanya akan diumumkan selepas mendapat clearance daripada pihak berkuasa. katanya dalam sidang akhbar khas berhubung insiden helikopter di sini hari ini.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian.
Sementara itu, Dzulkefly pula dilapor berkata, helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Media melaporkan lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu di bawah Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – UTUSAN










