KUALA LUMPUR: Penyanyi, Najwa Latiff akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menyunting video siaran langsungnya baru-baru ini.
Walaupun sudah menerima permohonan maaf daripada pihak berkenaan, Najwa tetap memikirkan dan berbincang dengan ahli keluarga terdekat tentang tindakan selanjutnya yang bakal diambil.
“Syarikat tersebut telah membuat permohonan maaf, menghantar mesej di media sosial saya. Namun saya belum membalasnya.
“Setakat ini saya belum mengambil sebarang tindakan. Saya masih berbincang dengan suami tentang tindakan seterusnya. Jika mencalar kredibiliti saya, tentu sekali tindakan harus diambil.
”Saya tak mahu terburu-buru dalam mengambil tindakan. Jadi lebih baik saya berbincang dengan orang sekeliling saya tentang tindakan selanjutnya,” katanya.
Najwa dalam pada memaklumkan dia kesal dengan penularan video berkenaan yang beberapa hari berlegar di media sosial.
“Sejujurnya saya terkilan, namun kita kena lalui situasi ini.
“Namun setakat ini impaknya adalah orang datang kepada saya untuk maklumkan mengenai itu adalah video janaan A.I.
”Perkara ini baharu semalam berlaku, jadi impaknya belum teruk,” katanya lagi.
Penyanyi lagu Cinta Muka Buku itu menegaskan yang video berkenaan dihasilkan untuk mempromosikan produk pihak berkenaan.
“Yang penting itu bukan saya, itu adalah imej janaan kecerdasan buatan.
“Tujuannya mungkin untuk mempromosikan jenama atau produk pihak sana. Dia tak perasan, jadi telah menghasilkan imej janaan AI, menampakkan saya tak bertudung.
“Ramai yang memberitahu tentang kewujudan video itu namun bila tekan pautannya, video itu sudah diturunkan,” katanya lagi.- UTUSAN










