Mesyuarat khas esok teliti langkah tangani kenaikan bil elektrik - PM

Mesyuarat khas esok teliti langkah tangani kenaikan bil elektrik – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat itu akan melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Katanya, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik sebahagian isi rumah sehingga melepasi paras 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan dan tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini. Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera.

“Saya ingin menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.

“Sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerajaan akan mempertahankan ikhtiar penyasaran subsidi bagi melindungi majoriti rakyat susulan keresahan berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

“Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×