SEREMBAN: Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral bagi menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat hari ini menegaskan bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Malah Ismail berkata, sesuatu proklamasi tidak memberikan kuasa Perlembagaan dengan sendiri sebaliknya kesahihannya perlu ditentukan berdasarkan sumber kuasa serta syarat dan prosedur diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Katanya, Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan kerangka khusus berkaitan tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar termasuk keperluan berkaitan proses dan proklamasi.
“Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar. Kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Sebaliknya, apabila Perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, peranan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, isu berkaitan Surat Cara Proklamasi yang didakwa memberi kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukanlah satu persoalan politik atau peribadi.
Kata beliau, sebaliknya ia perlu dilihat berdasarkan kerangka undang-undang tubuh negeri dan prinsip Raja Berperlembagaan.
“Kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“Maka isu wajar ditentukan ialah sumber kuasa perlembagaan bagi Proklamasi tersebut, syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta sama ada kesemua syarat dan prosedur tersebut telah dipatuhi sehingga Proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa,” katanya.
Tegasnya, institusi raja dan adat, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan serta fungsi masing-masing yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Oleh itu, Ismail berkata, persoalan berkenaan perlu diselesaikan melalui proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.
“Apa yang perlu dipertahankan ialah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.
“Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri. – UTUSAN










