PETALING JAYA : Kesemua lima mangsa nahas helikopter di Long Lelang, Marudi, Sarawak dikenal pasti berdasarkan barang peribadi, cebisan pakaian dan kedudukan tempat duduk mereka selepas mereka ditemukan dalam keadaan jasad tidak sempurna.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pengecaman secara rasmi akan dilakukan pihak hospital menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Tidak ada satu pun jasad ataupun mangsa yang kita jumpai sempurna,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurutnya, sampel DNA daripada kesemua keluarga mangsa juga sudah diambil bagi membantu proses pengecaman.
“Untuk cebisan-cebisan dan juga jasad-jasad ini akan kita bawa ke hospital untuk kita buat ujian juga,” katanya.
Kelima-lima mangsa terdiri daripada juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30,Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, dan Alexson Adit Henry, 31.
Helikopter BO-105S itu terhempas di hujung landasan terbang Long Lelang kira-kira pujul 3.40 petang semalam.- UTUSAN










