Maut konvoi: Mohd. Zamri, Norlyana teruja ke Kuala Perlis 

Maut konvoi: Mohd. Zamri, Norlyana teruja ke Kuala Perlis 

ALLAHYARHAM MOHD. ZAMRI MOHD. ZAKI dan NORLYANA ISMAIL -MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Perjalanan konvoi motosikal jenis Aveta Nova 250 melibatkan 18 individu dari Kuala Terengganu ke Kuala Perlis, Perlis berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kampung Gong Kedak di sini, hari ini.

Kemalangan membabitkan tiga buah motosikal dan sebuah lori kira-kira pukul 9.45 pagi itu meragut nyawa Mohd. Zamri Mohd. Zaki, 41, dan isterinya, Norlyana Ismail, 45. Mereka dari Wakaf Tengah, Kuala Terengganu.

Tiga lagi peserta konvoi motosikal itu berusia 50 hingga 51 tahun turut cedera dan dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

Seorang rakan mangsa, Md. Faizal Md Yusof, 52, berkata, mereka merancang bercuti di Kuala Perlis selama tiga hari dengan memulakan perjalanan sejak pukul 7.30 pagi ini sebelum singgah minum pagi di sebuah kedai terletak beberapa ratus meter dari lokasi kejadian.

Katanya, selepas minum pagi, kumpulan peserta yang menunggang 12 motosikal bergerak untuk meneruskan perjalanan dengan dipecahkan kepada tiga kumpulan yang mana pasangan suami isteri yang maut itu berada dalam kumpulan kedua.

“Jarak kumpulan mereka dan saya tidak jauh. Kedudukan saya sedikit ke belakang dan apabila tiba di lokasi kejadian, kami melihat tiga buah motosikal rakan-rakan terlibat kemalangan.

“Ketika itu kami terus berhenti di tepi jalan dan rakan-rakan yang telah jauh ke depan juga berpatah balik apabila menyedari kumpulan belakang ketinggalan jauh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Md. Faizal, dia dan pasangan yang maut itu baru berkenalan sejak sebulan lalu melalui rakan-rakan permotoran berkenaan dan rancangan untuk konvoi tersebut juga dirancang dalam tempoh sama.

Katanya, ketika minum pagi dia sempat berborak dengan pasangan tersebut dan mereka kelihatan sangat teruja dengan percutian ini.

“Kami telah maklumkan insiden ini kepada keluarga mangsa dan percutian ini juga tidak dilanjutkan. Kami bersama-sama keluarga arwah menguruskan segala urusan hospital sehingga urusan pengebumian arwah,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×