Dalam era digitalisasi mampukah sastera mengangkat akal budi dan tamadun bangsa melalui pembacaan karya-karya bermutu tinggi yang dihasilkan oleh para sasterawan terutamanya karya Sasterawan Negara (SN)?
Kini karya sastera bukan sahaja dibaca melalui novel, cerpen, drama dan karya puisi melalui buku bercetak malah telah meluas dibaca melalui media baharu yang menyiarkan karya sastera.
Melalui bahasa lahirlah sastera indah dan mengajak pembaca berfikir. Bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan juga bahasa ilmu, malah bahasa Melayu berjaya mengungkapkan sastera Melayu yang indah dan maju. Sastera berbahasa Melayu mampu mengangkat tamadun bangsa yang berjaya dan maju seiring dengan perubahan zaman.
Kesusasteraan sewajarnya menjadi nadi kepada pembinaan akal budi dan tamadun bangsa yang mampu menyumbang ke arah pembinaan budaya yang besar. Sastera mestilah memperlihatkan wawasan yang jelas dan benar mempertahankan kehalusan kesenimanan, mengadunkan pandangan alamnya dengan garapan seni yang bernilai tinggi.
Sebenarnya secara tidak disedari dan tidak langsung bahasa Melayu telah berjaya mengangkat sastera berbahasa Melayu sebagai wahana yang berkesan. Oleh itu, ramai kalangan pembaca yang meminati sastera, meskipun mereka bukanlah dalam kalangan orang sastera. Orang biasa yang meminati sastera, malahan mereka ini adalah pembaca tegar yang membaca karya sastera Melayu secara senyap.
Sastera Melayu juga berjaya mengangkat dan mendidik akal budi pembaca dan memartabatkan tamadun bangsa melalui bahan bacaan yang dibaca. Meskipun tiada kajian terperinci berkaitan hal ini, tetapi sejak sebelum merdeka lagi karya sastera telah menjadi wadah bahan bacaan yang berkesan di sekolah dan dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, sejak 1981 dahulu lagi kerajaan mewujudkan Anugerah Sastera Negara (ASN) bagi mengangkat sastera berbahasa Melayu dan juga mengangkat pengarang dan sasterawan berbahasa Melayu pada kedudukan tinggi.
Ketinggian ini adalah disebabkan hasil karya mereka yang mampu mendidik akal budi bangsa dan meletakkan tamadun bangsa di tempat yang sewajarnya.
Benarlah seperti kata Matthew Arnold, sastera adalah cerminan kehidupan bangsa. Tanpa sastera sesuatu bangsa itu tidak akan maju dan bertamadun. Justeru, sastera sesuatu bangsa itu juga berfungsi memberi gambaran tentang kehidupan masyarakatnya.
Oleh itu, sastera masih diajar di sekolah melalui mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris iaitu melalui Komponen Sastera (Komsas) yang menyajikan bahan-bahan seperti novel, cerpen, drama, puisi (sajak, pantun, gurindam, seloka) serta bahan sastera klasik sebagai bahan pengajaran yang penting dan berguna.
Kini sudah 16 penerima ASN yang kesemua mereka bergiat aktif dalam dunia kesusasteraan sama ada menulis novel, cerpen, puisi (sajak) dan drama serta aktif dan mengangkat sastera dan persuratan Melayu di peringkat negara dan dunia diangkat menerima anugerah tersebut melalui pemilihan oleh sebuah jawatankuasa yang dipilih oleh pihak kerajaan yang tentunya mahir dalam bidang sastera.
Tokoh SN ke-14 ialah Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, anak kelahiran Gombak, Selangor yang bergiat dalam penulisan novel, cerpen dan puisi (sajak) serta pengkaji seni budaya, pelukis dan pernah membentangkan beberapa kertas kerja di peringkat negara, ke seluruh pelosok dunia dan antarabangsa.
Beliau juga bergiat dalam lapangan seni lukis dan budaya secara berterusan. Diikuti oleh Sasterawan Negara ke-15 iaitu SN Datuk Rahman Shaari seorang penghafal puisi, penyair dan penulis novel yang berasal dari Perlis dan berpengalaman sebagai pensyarah sastera Melayu, di Universiti Malaya. Terbaharu SN Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) dianugerahkan Sasterawan Negara ke-16 seorang pengkritik sastera, berkarya dalam bidang drama, cerpen dan novel.
Lantaran itu, generasi muda sewajarnya didedahkan dengan karya sastera terutama karya sastera SN dan sasterawan ternama lain yang bernilai tinggi serta memaparkan kehidupan dan warisan bangsa pada masa lampau untuk dijadikan rujukan dalam kehidupan.
Melalui pembacaan karya SN akan dapat memahami, menyelami pemikiran mereka melalui karya yang disampaikan dengan bahasa yang baik dan indah.
Apa yang penting hasil karya SN mestilah menjadi rujukan bangsanya untuk mendidik akal budi dan membina tamadun yang berwibawa. Hasil karyanya menjadi bahan bacaan di sekolah dan di universiti dan dibincangkan tentang nilai estetik dan juga kebaikannya. Hal inilah yang perlu ditekankan bukan hanya pada nilai dan kemasyhuran anugerah tersebut.
Tepatlah seperti kata SN Allahyarham Shahnon Ahmad yang mengatakan, seorang sasterawan juga adalah seorang pejuang, kalau takut usahlah berjuang, usahkan menjadi sasterawan konvensi, cukuplah menjadi sasterawan biasa sahaja. Lantaran itu,perjuangan sasterawan adalah melalui tulisan dan karyanya yang berkesan.
Demikianlah sasterawan yang juga berjuang melalui tulisan untuk memerdekakan negara, menghalau penjajahan melalui mata pena, menegakkan martabat bahasa dan sastera di mata masyarakat dan menjadikan sastera sebagai bidang perjuangan yang berilmu dan berseni selari dengan kehendak bangsa dan negara.
Sifat dan ciri yang terserlah pada karya-karya yang terhasil mestilah berjejak di bumi nyata dan berakar kepada masyarakat dan bangsa di negara ini.
Kehadiran penjajah ke negara ini juga ditentang oleh pejuang sastera terdahulu melalui tulisan mereka dalam novel, cerpen dan sajak yang menentang penindasan dan cengkaman kepada penderitaan rakyat di negara ini.
Pelbagai gaya, budaya, etika, nilai murni, sikap dan perilaku yang baik yang boleh dicontohi dalam karya yang dihasilkan dengan nasihat, panduan yang sangat tinggi nilainya melalui gaya bahasa sastera berbahasa Melayu.
Apa yang penting kalangan sasterawan jangan mengambil kesempatan melalui pertandingan sayembara yang dianjurkan oleh persatuan, kemudian pemenangnya adalah ahli jawatankuasa yang menganjurkannya. Orang di luar bidang sastera sedang memerhati perkara ini dan gejala ini boleh merosakkan nilai sastera dan orang sastera itu sendiri.
Akhirnya, kita sebagai ahli masyarakat terutamanya generasi muda wajar membaca karya-karya sastera yang baik yang ditulis oleh sasterawan di negara ini terutamanya karya sasterawan negara sebagai panduan yang berguna.
Hasil karya SN sewajarnya ada dalam perpustakaan awam dan perpustakaan di setiap sekolah bagi kemudahan untuk bacaan generasi muda.-UTUSAN
AMINUDIN MANSOR@AMI MASRA ialah penerima Anugerah Tokoh Penulis Sepanjang Hayat, DPMP Pahang.











