PUTRAJAYA: Malaysia kini menunggu pengesahan tarikh daripada Myanmar bagi melaksanakan fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela pelarian negara itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, fasa pertama penghantaran membabitkan kumpulan seramai 1,476 orang pelarian telah selesai semalam.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, semua individu terbabit telah melalui proses pengesahan identiti oleh pihak berkuasa Myanmar sebelum nama mereka dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia melalui saluran diplomatik.
“Individu yang terlibat telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Myanmar dan nama-nama tersebut telah dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia menerusi Wisma Putra,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, kejayaan pelaksanaan fasa pertama itu membuka laluan kepada penghantaran kumpulan kedua yang melibatkan jumlah lebih besar iaitu seramai 3,524 pelarian Myanmar.
Fahmi berkata, angka tersebut telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dan Myanmar untuk dilaksanakan dalam fasa seterusnya tertakluk kepada penyelarasan logistik serta pengesahan tarikh oleh pihak berkuasa Myanmar.
Menurutny, Wisma Putra turut memainkan peranan penting dalam menguruskan urusan diplomatik termasuk nota diplomatik yang dikemukakan oleh pihak Myanmar.
“Kerajaan menjangkakan maklumat lanjut mengenai penghantaran kumpulan kedua akan diterima dalam masa terdekat selepas proses penghantaran kumpulan pertama selesai sepenuhnya.
“Setelah proses penghantaran kumpulan pertama ini selesai, kita akan menerima maklumat daripada pihak Myanmar mengenai kumpulan kedua.
“Apabila maklumat tersebut diterima, sudah pasti Kementerian Dalam Negeri akan memaklumkan perkembangan lanjut kepada umum,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai pelarian negara itu yang berada di Malaysia diterima pulang ke tanah air mereka.
Katanya, perbincangan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara selain memastikan proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara teratur dan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama.
“Usaha itu juga mencerminkan komitmen Malaysia dan Myanmar dalam menangani isu pelarian secara berperingkat melalui kerjasama diplomatik serta penyelarasan antara agensi berkaitan.
“Perbincangan itu bertujuan memastikan lebih ramai pelarian Myanmar yang berada di Malaysia dapat diterima pulang ke Myanmar selepas proses penghantaran kumpulan kedua selesai,” katanya. – UTUSAN











