PUTRAJAYA: Malaysia kini berada pada kedudukan yang positif dari sudut ekuiti pendidikan, setanding negara berprestasi tinggi seperti Singapura, berdasarkan dapatan terkini Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).
Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr. Andreas Schleicher berkata, pencapaian itu penting kerana kecemerlangan dan ekuiti dalam pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang saling bertentangan.
Menurut beliau, Malaysia telah melangkah lebih jauh berbanding kebanyakan negara dalam usaha memutuskan kaitan antara latar belakang sekolah dengan pencapaian murid.
“Di Malaysia, sekolah yang paling dekat selalunya merupakan sekolah yang terbaik dan jurang perbezaan antara sekolah di kawasan berkemampuan dengan sekolah di kawasan kurang berkemampuan sebenarnya lebih kecil berbanding sistem pendidikan lain.
“Dari sudut ekuiti ini, Malaysia setanding secara positif dengan negara berprestasi tinggi seperti Singapura,” katanya melalui Tayangan Video PISA 2025: Malaysia Through OECD Lens pada Pengumuman Pencapaian Malaysia Dalam PISA 2025 oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek di sini hari ini.
Beliau berkata, pencapaian itu amat penting kerana sistem pendidikan yang benar-benar berjaya bukan sahaja meningkatkan kecemerlangan, malah pada masa sama mengangkat tahap pencapaian keseluruhan murid tanpa memaksa mereka memilih antara kecemerlangan dan ekuiti.
“Ini pencapaian yang penting kerana kecemerlangan dan ekuiti tidak sepatutnya bersaing antara satu sama lain. Sistem pendidikan yang benar-benar berjaya tidak memaksa murid memilih antara kedua-duanya, ia menaikkan siling pencapaian sambil mengangkat lantai asasnya,” katanya.
Schleicher berkata, dapatan PISA turut menunjukkan hanya kira-kira 17 peratus variasi dalam prestasi murid di Malaysia adalah disebabkan perbezaan antara sekolah, jauh lebih rendah daripada purata antarabangsa.
Jelasnya, keadaan itu menunjukkan latar belakang dan lokasi sekolah mempunyai pengaruh yang lebih kecil terhadap pencapaian murid di Malaysia berbanding banyak sistem pendidikan lain.
Dalam pada itu, beliau berkata antara perkara yang wajar diberi perhatian daripada keputusan PISA ialah murid Malaysia berusia 15 tahun menonjol dari segi rasa ingin tahu (curiosity), ketabahan (perseverance) dan pembelajaran kendiri (self-directed learning).
“Dalam dimensi-dimensi ini, prestasi Malaysia lebih baik berbanding kebanyakan negara lain yang menyertai PISA,” katanya.
Tambahnya lagi, kekuatan lain yang terbukti jelas dalam data berkenaan ialah melibatkan guru-guru di Malaysia apabila murid-murid melaporkan tahap sokongan guru yang tinggi.
Katanya, ia sekali gus membuktikan bahawa guru di Malaysia bukan sekadar berdiri di hadapan bilik darjah menyampaikan ilmu, tetapi merupakan mentor, jurulatih, fasilitator dan pereka bentuk persekitaran pembelajaran.
“PISA secara konsisten menunjukkan bahawa murid mencatatkan prestasi lebih baik apabila mereka berasa disokong oleh guru. Murid belajar lebih banyak apabila ada orang dewasa di sekolah yang percaya bahawa mereka boleh berjaya. Kadangkala, perbezaan antara murid yang berputus asa dengan murid yang terus berusaha hanyalah kehadiran seorang guru yang berkata ‘Cikgu tahu kamu boleh buat’,” katanya. – UTUSAN










