Malaysia-Maldives runding PTA

Malaysia-Maldives runding PTA

MOHAMED MUIZZU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALÉ (MALDIVES): Malaysia dan Maldives bersetuju untuk memulakan rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA), langkah yang dijangka mewujudkan peluang baharu kepada sektor perniagaan dan meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu berkata perjanjian itu antara langkah konkrit yang dibincangkan oleh kedua-dua negara bagi memperluas kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan.

“Mengenai perdagangan dan pelaburan, kami telah membincangkan langkah-langkah konkrit untuk terus memperluas kerjasama ekonomi.

“Yang penting, kami bersetuju untuk memulakan rundingan bagi PTA, yang berpotensi membuka peluang baharu kepada sektor perniagaan di kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Presiden di sini hari ini.

Muizzu turut mempelawa kerajaan dan perniagaan Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan di Maldives terutamanya dalam sektor strategik termasuk tenaga boleh baharu, infrastruktur digital, pembinaan dan kewangan Islam.

Kemudian, bercakap kepada media Malaysia, Anwar berkata PTA akan memberikan kejelasan dan kepastian yang lebih baik kepada sektor perniagaan dengan mewujudkan peraturan yang jelas berkaitan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Biasanya, seperti yang kita tahu, apabila kita ada FTA, sebelumnya PTA, ia memberi gambaran memudahkan kerjasama kerana peraturan itu jelas.

“Bakal pelabur atau pedagang tahu secara khusus apa yang dikehendaki. Oleh sebab itu, perjanjian itu penting dan jaminan yang terikat dengan kerajaan,” kata beliau.

Anwar berkata potensi untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala adalah besar, menyatakan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar Maldives dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Beliau berkata eksport Malaysia ke Maldives melebihi US$184.1 juta manakala import berjumlah US$1.3 juta.

Anwar turut menekankan kedudukan Maldives sebagai destinasi pelancongan antarabangsa utama dan Malaysia perlu memanfaatkan hubungan rapat antara kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama ekonomi dan pelancongan.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Anwar dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Maldives, yang berakhir hari ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×