Lelaki OKU hilang sejak Isnin ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Lelaki OKU hilang sejak Isnin ditemukan selamat

LELAKI OKU yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemukan selamat berhampiran ladang kelapa sawit di hadapan SK Batu 7, Tanjung Tualang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 26 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu, ditemukan dalam keadaan selamat hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan dijumpai pada pukul 3.37 petang oleh orang awam berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 7, Tanjung Tualang.

Katanya, kehadiran mangsa di lokasi berkenaan disedari orang awam selepas melihat lelaki itu melambaikan tangan meminta bantuan di tepi jalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jarak lokasi mangsa ditemukan kira-kira 1.2 kilometer dari rumahnya iaitu lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut berkaitan penyakit asma,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga hari ini disambung semula pada pukul 8 pagi tadi dengan pertukaran anggota bertugas di lokasi.

Katanya, pasukan SAR menerima maklumat daripada penduduk kampung yang mendakwa mangsa berada di sebuah rumah penduduk untuk menumpang mandi.

“Pemilik rumah pada mulanya tidak mengecam lelaki berkenaan sebagai mangsa yang dilaporkan hilang.

“Bagaimanapun, selepas menyedari identiti sebenar lelaki itu, mangsa telah meninggalkan rumah berkenaan dan masuk semula ke kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit,” katanya.

Sabarodzi berkata, susulan maklumat itu, operasi pencarian ditumpukan di kawasan hutan berkeluasan kira-kira dua hektar dengan melibatkan anggota bomba dan pelbagai agensi.

“Operasi turut dibantu anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan polis sebelum mangsa akhirnya ditemukan petang tadi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, operasi SAR diaktifkan selepas abang mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan lelaki OKU berkenaan yang dipercayai keluar dari rumah melalui pintu belakang sebelum masuk ke kawasan ladang kelapa sawit.

Kehilangannya disedari selepas mangsa didapati tiada di rumah, manakala pintu belakang kediaman mereka dalam keadaan terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×