GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk terus memperluas program Jualan Madani KUSKOP (JMK) dalam usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos sara hidup semasa selain membantu para usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ketika ini, selain Pulau Pinang, program tersebut telah diadakan di beberapa lokasi lain termasuk Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.
“Pulau Pinang setakat ini sudah tujuh (program) dan kita sasarkan untuk anjur sekurang-kurangnya sepuluh program tahun ini. Di tempat lain, saya belum kira. Tapi, kita akan tambah ikut keperluan dan kesesuaian,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program JMK @ DUN Seri Delima di Taman Kejiranan Karpal Singh, Island Glades di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan.
Sementara itu, Steven memberitahu, lima daripada anak angkatnya turut mengambil inisiatif sendiri untuk membuka gerai makanan yang dinamakan sebagai gerai ‘Jualan Amal Anak Angkat YB’ pada program JMK berkenaan.
Katanya, hasil jualan yang diperoleh akan dimasukkan sepenuhnya ke dalam tabung pendidikan untuk program ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ bagi membantu pelajar lain daripada keluarga kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka.
“Sebelum ini, mereka (anak angkat) menerima bantuan untuk meneruskan pelajaran. Tetapi, hari ini, mereka pula memikirkan cara untuk membantu orang lain belajar.
“Inilah makna sebenar pendidikan. Apabila kita membantu seorang anak, suatu hari nanti, dia mungkin akan membantu lebih ramai orang pula,” ujar beliau.-UTUSAN










