KPKT salur RM128.25 juta laksana 24 projek pembangunan di Melaka

KPKT salur RM128.25 juta laksana 24 projek pembangunan di Melaka

NGA Kor Ming bergambar selepas Program Jelajah Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Negeri Melaka di Pangsapuri Sri Siantan, Jalan Bukit Baru, Kampung Solok Musai, Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka menerima peruntukan berjumlah RM128.25 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan 24 projek pembangunan utama sebahagian besarnya dijangka siap hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), khususnya Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan berkualiti, peningkatan infrastruktur awam serta kesejahteraan komuniti di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang masyarakat.

“(Peruntukan) RM128 juta ini adalah sentuhan kasih istimewa KPKT kepada warga Melaka bagi meningkatkan pelbagai prasarana awam supaya rumah pangsa sentiasa dijaga, longkang dan parit sentiasa dibersihkan serta Rumah Mesra Rakyat (RMR) disiapkan mengikut jadual.

“Termasuk juga rumah ibadat bukan Islam dan kemudahan lain yang memerlukan penyelenggaraan serta pembelaan sewajarnya.

“Kerja-kerja bagi kebanyakan projek ini akan dimulakan dengan segera dan majoritinya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Negeri Melaka di Pangsapuri Sri Siantan, Jalan Bukit Baru, Kampung Solok Musai di sini, hari ini.

Menurut Kor Ming, daripada jumlah tersebut sebanyak RM32.8 juta diperuntukkan bagi pembinaan sel tambahan di tapak pelupusan sisa pepejal Sungai Udang oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Katanya, sebanyak RM29.6 juta pula disalurkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan 390 unit RMR yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, sebanyak RM24.9 juta diperuntukkan bagi Projek Infrastruktur dan Kemudahan Awam di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), termasuk pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral, Pasar Baru Jasin, gerai Madani, medan selera, penyelenggaraan tandas awam bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) serta kerja-kerja pembaikan cerun.

Jelasnya, bagi sektor perumahan mampu milik, kerajaan turut menyediakan RM10 juta untuk pembinaan rumah mampu milik di bawah Program Pembangunan Residensi PR1MA Fasa 1 Padang Temu.

“Sementara itu, RM8.5 juta disediakan di bawah Bahagian Perancangan Perumahan bagi pelaksanaan projek Residensi Rakyat (PRR) di Klebang, Bukit Katil dan Paya Rumput,” katanya.

Kor Ming berkata, KPKT turut memberi perhatian terhadap penyelenggaraan perumahan sedia ada apabila sebanyak RM5.8 juta diperuntukkan untuk menyelenggara dan membaik pulih 17 projek Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) serta 11 projek Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di seluruh Melaka.

Katanya, sebanyak RM5.4 juta turut disalurkan melalui inisiatif dana penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi membantu 35 operator rumah ibadat berkenaan di seluruh negeri.

“Sebanyak RM4 juta pula diperuntukkan bagi Program Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah di Bandar, melibatkan 125 unit rumah untuk dibaik pulih dan 11 unit rumah baharu,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh kemudahan rekreasi awam, KPKT melalui Jabatan Landskap Negara turut menyediakan RM2 juta bagi kerja-kerja menaik taraf serta pengindahan landskap taman-taman awam di pelbagai daerah di negeri ini.

Selain itu katanya, peruntukan lain termasuk RM877,000 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka bagi menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Melaka serta RM745,000 bagi tujuan pembangunan enam Kampung Baru di seluruh negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×