KUALA LUMPUR: Kiriman ringkas ‘Alhamdulillah’ oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook pagi ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya.
Kiriman itu menimbulkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan dengan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dilaporkan berlangsung hari ini bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semalam, satu media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan bermesyuarat semula hari ini bagi membincangkan permohonan pengampunan Najib, kira-kira seminggu selepas pertimbangan mengenainya ditangguhkan.
Perkembangan itu menjadi perhatian susulan proses permohonan pengampunan Najib yang sebelum ini turut dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada Asyraf Wajdi berhubung maksud sebenar kiriman tersebut.-UTUSAN










