Kes pertama sejak 1998, lelaki meninggal dunia akibat rabies di Kedah

Kes pertama sejak 1998, lelaki meninggal dunia akibat rabies di Kedah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, dekat sini meninggal dunia akibat rabies, hari ini sekali gus menjadi kes dalam kalangan manusia pertama dilaporkan di Kedah sejak 1998.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan, lelaki terbabit mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu, namun tidak menerima rawatan profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies selepas kejadian itu.

Mangsa mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas anggota atas kanan pada 18 September lalu, sebelum gejala berkembang kepada kesukaran menelan, takut air (hidrofobia), takut kepada udara atau hembusan angin (aerofobia), keresahan dan perubahan tingkah laku pada Selasa lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Gejala itu selaras dengan manifestasi klinikal rabies. Mangsa kemudian mendapatkan rawatan semula pada 23 September sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sampel klinikal telah diambil sehari kemudian dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies,” menurut kenyataan itu.

Susulan pengesahan kes itu, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah dan agensi berkaitan melaksanakan tindakan kawalan.

Ianya termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan serta penilaian risiko dan tindakan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bersama JKN Kedah turut menjalankan siasatan epidemiologi menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan mangsa, meliputi sejarah perjalanan dan pendedahan, pengenalpastian kontak serta faktor risiko dan analisis garis masa kejadian,” katanya.

Sementara itu, tindakan kawalan turut diperkukuh menerusi pendekatan One Health membabitkan pengurusan pendedahan manusia, survelan gigitan haiwan serta pemantauan dan penilaian risiko terhadap anjing dan haiwan yang berpotensi terdedah.

Dalam pada itu, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan dilaporkan di negeri ini sehingga Ogos lalu, dengan 65.3 peratus membabitkan anjing, diikuti kucing (23.1 peratus) dan haiwan lain (11.6 peratus).

Daripada jumlah itu, sebanyak 56.2 peratus pula melibatkan haiwan peliharaan, manakala baki 43.8 peratus membabitkan haiwan terbiar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×