PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera selepas diserang seekor anjing di sebuah taman perumahan di Batu 9, Cheras dekat sini Rabu lalu, berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak itu akan menjalani pembedahan lagi untuk jahitan di kulit luar kepala.
“Doktor turut memberikan ubat nyah rabies kepada mangsa.
“Berhubung kemungkinan jangkitan rabies, keputusan hanya dapat dipastikan selepas analisis diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan anjing yang menyerang dan menggigit kanak-kanak lelaki itu disahkan merupakan anjing liar.
Naazron dilaporkan berkata, semakan itu dilakukan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
MPKj telah mengeluarkan surat pemakluman berkaitan anjing berkenaan untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Verterinar bagi tindakan lanjut.
Beliau dilaporkan berkata, mangsa yang sebelum ini dibawa ke Hospital Kajang telah dipindahkan ke Hospital Putrajaya dan dirawat di wad kanak-kanak hospital berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas diserang dan digigit seekor anjing ketika bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya.
Kejadian terbabit sebelum itu tular di media sosial memaparkan kanak-kanak terbabit bergelut dengan anjing itu beberapa ketika sebelum berjaya melarikan diri.
Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.- UTUSAN









