SEJAK Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa PH terus bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun pelbagai persepsi mula timbul.
Ramai melihat pengumuman Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang seperti menongkah arus ketika kepimpinan PH di beberapa negeri lain memilih untuk memperlahankan atau menghentikan terus kerjasama mereka dengan kedua-dua parti iaitu UMNO dan BN.
Susulan pengumuman itu juga, wujud dua ‘kem’ politik berbeza untuk UMNO dan BN di negeri itu hari ini. Satu, kem yang dilihat senada dengan pentadbiran kerajaan negeri manakala satu lagi kem mengikut ketetapan yang dibuat oleh parti di peringkat pusat.
Justeru, sukar untuk mengandaikan pendirian sebenar UMNO dan BN di Pulau Pinang seperti kata-kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
“Kita tunggu PAU (Perhimpunan Agung UMNO) habis dulu baru bincang. Sebenarnya, nak bincang dengan siapa pun kita tak tahu lagi buat masa ini,” ujarnya ketika ditanya mengenai kecenderungan kerjasama parti itu di Pulau Pinang sama ada mahu terus bersama PH atau memilih untuk bekerjasama dengan Pas.
Sebenarnya, UMNO dan BN masih belum begitu kukuh di Pulau Pinang ketika ini kerana parti itu hanya mempunyai dua kerusi sahaja daripada 40 kerusi yang dipertandingkan iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam dan DUN Sungai Acheh.
Keadaan itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan era ‘Gelombang Pak Lah’ kira-kira 22 tahun lalu yang menyaksikan lonjakan sokongan terhadap BN termasuk di Pulau Pinang dengan UMNO memenangi 15 kerusi DUN daripada keseluruhan kerusi yang diraih oleh BN pada masa itu iaitu sebanyak 38 kerusi.
Namun, dalam keadaan realiti politik hari ini, agak sukar untuk melihat UMNO dan BN mengulangi pencapaian luar biasa itu buat kali kedua meskipun kebangkitan ‘gelombang biru’ semakin diperkatakan dewasa ini.
Begitu juga dengan PH, pencapaian terbaik mereka ialah memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRU14, kira-kira lapan tahun yang lalu dan kejayaan tersebut juga walaupun tidak mustahil, tetapi adalah amat sukar untuk diulangi pada PRU akan datang.
Oleh itu, sukar juga untuk membuat telahan mengenai kesudahan hubungan antara UMNO dan BN dengan PH di Pulau Pinang kerana seperti diketahui umum, politik itu sesuatu yang bersifat dinamik. Hari ini, parti A boleh menjadi kawan, namun, dalam sekelip mata juga, parti itu boleh bertukar menjadi lawan.
Justeru, ada baiknya juga jika pendekatan ‘tunggu dan lihat’ diguna pakai oleh parti-parti yang terlibat bagi membuat penilaian risiko serta mengumpul maklumat sebelum menyusun strategi baharu bagi mendepani PRU16 yang pastinya akan lebih mencabar selepas ini.











