PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak wajar menjadikan usaha mencari kesalahan UMNO sebagai fungsi utama, sebaliknya perlu membuktikan prinsip integriti dan keadilan secara konsisten.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Affifi Aris berkata, prinsip integriti tidak seharusnya diketengahkan apabila isu membabitkan UMNO, sedangkan proses dan institusi undang-undang dipersoalkan apabila keputusan tidak memihak kepentingan politik sendiri.
“Jika benar perjuangan mereka adalah mengenai integriti, ketelusan dan akauntabiliti, mengapa kelantangan yang sama tidak kelihatan dalam pelbagai kontroversi dan dakwaan lain yang menjadi perhatian masyarakat?
“Apa pendirian AMK mengenai kerugian berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery? Apa desakan AMK berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’?
“Bagaimana pula isu lesen perlombongan di Sabah dan dakwaan rasuah yang dibangkitkan oleh Albert Tei? Ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, apakah perjuangan besar AMK untuk membela mereka?,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Mohd Affifi berkata, AMK sebagai sayap muda PKR yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perlu membawa budaya politik yang lebih matang dengan mempertahankan institusi dan prinsip keadilan, bukannya terperangkap dalam politik menyalahkan pihak lawan.
Beliau berkata, perbezaan pendirian politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menggunakan kuasa sebagai senjata bagi menekan mereka yang tidak sehaluan.
Jelasnya, kuasa dan kedudukan politik bersifat sementara dan tidak seharusnya dijadikan asas untuk membina budaya politik yang hanya menguntungkan kelompok tertentu.
“Kuasa tidak kekal selama-lamanya. Kerusi empuk di Putrajaya juga bukan milik sesiapa untuk selama-lamanya.
“Hari ini seseorang mungkin mempunyai kuasa, esok keadaan boleh berubah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar institusi, undang-undang dan prinsip keadilan perlu dipertahankan tanpa mengira siapa yang berada dalam kerajaan atau menjadi pembangkang.
Katanya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan politik negara tidak terus dibelenggu budaya dendam yang akhirnya diwarisi generasi akan datang.
“Jangan sesekali menjadikan kuasa sebagai senjata politik untuk menekan mereka yang tidak sehaluan.
“Kerana akhirnya, ukuran integriti bukan pada sekuat mana kita menuding jari kepada lawan.
“Integriti sebenar diuji apabila prinsip yang sama turut dikenakan kepada kawan dan diri sendiri,” katanya. – UTUSAN










