Kapten Zainol Afiq disayangi penduduk pedalaman Sarawak

Kapten Zainol Afiq disayangi penduduk pedalaman Sarawak

NOR Izzati Syamimi Suhaimi, 31, memeluk anaknya, Adelia Sofia Zainol Afiq, 6, selepas pengebumian suaminya, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Seremban, petang tadi. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, amat disayangi masyarakat di pedalaman Sarawak kerana sentiasa komited membantu membawa petugas kesihatan berkhidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, meskipun baru berkhidmat lebih dua tahun, kehilangan Allahyarham meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penduduk dan petugas yang mengenalinya.

Menurutnya, anak keempatnya itu sering ke kawasan pedalaman bagi membawa bantuan serta keperluan berkaitan kesihatan dan perubatan yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkhidmatan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

“Kalau naik helikopter, perjalanan hanya sekitar sejam, tetapi melalui jalan darat boleh mengambil masa 10 hingga 12 jam.

“Jadi banyak perkara berkaitan kesihatan dan perubatan yang memerlukan bantuan KKM dibawa oleh beliau ke kawasan pedalaman dan sebab itulah ramai orang di sana sayang kepadanya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Forest Height, Senawang di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 6.04 petang tadi.

BEE Sham Ahmad ditemui pemberita selepas pengebumian anaknya, Allahyarham Zainol Afiq di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Seremban petang tadi. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Bee Sham berkata, Allahyarham yang mesra dengan panggilan Afiq turut mempunyai hubungan rapat dengan penduduk serta petugas di kawasan pedalaman tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, setiap kali bermalam di kawasan berkenaan, pemilik rumah penginapan yang didiaminya akan menyediakan makanan untuk anaknya sebagai tanda kasih sayang.

“Walaupun dalam tempoh yang singkat, dua tahun lebih, dia sudah begitu rapat dengan orang di sana. Sebelum ini dia berkhidmat di sini dan kalau dicampur keseluruhan tempoh dia terbang, lebih kurang sembilan tahun.

“Dia memang seorang yang baik, hormat orang tua dan suka menyebarkan dakwah dalam kalangan kawan-kawannya. Dia juga menjaga solat dan ketika Ramadan, dia mendirikan solat sunat,” katanya.

Bee Sham turut berkongsikan ramai individu yang tidak dikenalinya hadir dan bercerita mengenai kebaikan anak keempatnya itu.

“Ramai yang datang bersalaman dan memperkenalkan diri kepada saya. Sebelum ini pun ketika saya di sana, Afiq seperti bukan orang asing.

“Dia dianggap sebagai ‘brother’ oleh mereka yang sentiasa menolong, memberi nasihat dan memberi sumbangan apabila diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Bee Sham berkata, pihak keluarga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar nahas helikopter tersebut.

“Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Apabila siasatan selesai, kami sudah dimaklumkan akan dipanggil untuk mengetahui punca kemalangan,” katanya.

Mengulas dakwaan mengenai keadaan helikopter yang dikatakan uzur dan daif, beliau berkata, helikopter yang digunakan Allahyarham ketika kejadian baru menjalani penyelenggaraan pada 24 Ogos lalu.

Bagaimanapun, beliau berharap aspek kemudahan dan kelengkapan pengangkutan udara untuk FDS diberikan perhatian lebih serius memandangkan ia menjadi penghubung penting bagi penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×