Hargai pengorbanan petugas KKM - Dr.Fie

Hargai pengorbanan petugas KKM – Dr.Fie

DR. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie ditemui pemberita ketika menghadiri solat jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengorbanan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang sanggup bertugas jauh dari keluarga termasuk menaiki helikopter bagi menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pedalaman wajar dihargai masyarakat.

Doktor gigi dan pempengaruh, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie berkata, beliau memahami cabaran yang dihadapi petugas kesihatan yang perlu menggunakan pelbagai jenis pengangkutan termasuk ambulans dan helikopter dalam menjalankan tugasan berdasarkan pengalamannya berkhidmat di kementerian itu.

Menurutnya, tugas sebagai petugas kesihatan menuntut komitmen tinggi memandangkan mereka perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran termasuk bertugas jauh daripada keluarga.

“Sebenarnya seronok apabila berkhidmat dengan KKM kerana kita mendapat banyak pengalaman. Selain menaiki helikopter, kita juga perlu menaiki ambulans dan semua itu mempunyai risiko kemalangan.

“Namun, sebagai doktor, kita memang berniat untuk membantu orang dan kita gembira apabila dapat memberikan khidmat kepada pesakit,” katanya ditemui di Masjid Bandar Baru Senawang di sini, hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, termasuk Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.

Beliau turut mengakui terkesan dengan pemergian lima petugas berkenaan yang disifatkannya sebagai wira kerana sanggup berkhidmat jauh dari keluarga demi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Dr. Fie berkata, petugas kesihatan khususnya yang ditempatkan di kawasan pedalaman berdepan pelbagai risiko ketika menjalankan tugasan khususnya di kawasan pedalaman.

“Kita perlu hargai warga KKM . Mereka datang ke hospital bukan sekadar menjalankan tugas tetapi memberikan komitmen kepada pesakit walaupun berdepan pelbagai dugaan.

“Saya berharap masyarakat yang mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dapat menghargai dan melayan doktor serta jururawat dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×