SEREMBAN: Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, tiba di Masjid Bandar Baru Senawang, di sini, petang ini untuk disolatkan sekali lagi.
Jenazah diterbangkan dari Miri menerusi perkhidmatan MASKargo dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) kira-kira pukul 12.10 tengah hari tadi.
Van yang membawa jenazah tiba kira-kira pukul 4.20 petang dengan diiringi kenderaan polis sebelum disambut ahli keluarga serta penduduk setempat.
Turut mengiringi jenazah ialah isteri Allahyarham, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, bapa, Bee Sham Ahmad, 59, ibu, Zaiton Muda, 59, serta ahli keluarga lain.
Jenazah Allahyarham kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Height Senawang.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq dan Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamuddin disolatkan selepas solat Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri, pagi tadi.
Solat jenazah itu diimamkan Penolong Imam Bahagian Miri, Mohamad Ardy Putera Zainudin dan disertai kira-kira 300 jemaah.
Pengurusan jenazah kedua-dua mangsa turut dibantu Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Miri, Ustaz Rafaee Morshidi.
Selesai solat dan penghormatan terakhir, kedua-dua jenazah dibawa ke Kargo Lapangan Terbang Miri untuk proses penghantaran ke kampung halaman masing-masing.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Marudi, Sarawak, Selasa lalu.
Dalam nahas itu, kesemua lima individu termasuk Kapten Zainol Afiq terkorban.
Mangsa lain ialah pegawai perubatan, Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamuddin, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – UTUSAN










