Kadar potongan padi naik 10 peratus terus himpit petani

Kadar potongan padi naik 10 peratus terus himpit petani

ABDUL RASHID YOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kadar pemotongan pemutuan padi atau dikenali potongan basah yang melebihi 20 peratus ketika ini menambah kerugian petani yang baru-baru ini sudah berdepan kelewatan baja sehingga menjejaskan pengeluaran hasil.

Sebagai contoh, jika kadar potongan dikenakan kira-kira 20 peratus, petani hanya menikmati hasil sebanyak 800 kilogram (kg) sahaja daripada setiap 1,000kg atau satu tan padi yang dituai, walaupun padi tersebut berkualiti.

Pemotongan pada kadar ter­sebut telah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan jumlah itu kekal sama ada padi dituai pada musim panas atau musim hujan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kadar semasa itu perlu disemak semula oleh pihak berwajib kerana dianggap terlalu tinggi dan boleh terus menghimpit petani yang berdepan pelbagai isu.

Katanya, kadar pemutuan potongan juga kadang kala boleh mencecah 23 hingga 24 peratus berdasarkan penilaian pemilik kilang apabila padi dihantar ke kilang mereka.

“Dahulu harga padi RM700 hingga RM800 per tan, poto­ngannya sekitar 14 peratus sahaja. Bila harga padi meningkat potongan juga meningkat dan sekarang sudah beberapa musim potong 20 peratus.

“Daripada satu tan padi kalau potong 20 peratus sudah hilang 200kg dan saya dimaklumkan bahawa kawasan Wilayah I Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang sudah mula menuai ada yang dipotong sehingga 24 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujar Abdul Rashid, pihak berkaitan diminta memantau perkara tersebut kerana dibimbangi akan berlaku peningkatan terhadap kadar pemotongan pemutuan padi di kawasan lain yang akan memasuki musim menuai tidak lama lagi.

“Kami juga tertanya-tanya pihak manakah yang menetapkan kadar potongan sehingga 20 peratus ini sama ada agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau pengilang sendiri,” katanya.

Kelmarin, MADA memaklumkan kadar tuai di Kawasan Muda sudah mencapai tahap 9.3 peratus daripada keseluruhan 100,641 hektar kawasan tanaman.

Peringkat menanam pula mencecah 98.4 peratus dan pratepuan telah mencapai 100 peratus sehingga 16 September lalu.

Sementara itu, petani, Saad Hamid, 60, berkata, dia terpaksa akur kehilangan kira-kira 400kg padi yang tidak dinilai daripada keseluruhan dua tan padi yang dituai di sawah miliknya.

“Kami sebagai petani tahu padi yang dihasilkan itu kualitinya macam mana dan bagi setiap satu tan padi kami terpaksa lupakan hasil untuk 200kg, jadi banyak juga kami hilang pendapatan setelah berdepan isu baja sebelum ini.

“Saya minta agensi kerajaan yang berkaitan agar turun padang dalam memantau isu yang telah menekan pesawah sejak sekian lama kerana kualiti padi kebanyakan sudah meningkat tapi automatik perlu tolak 20 peratus untuk setiap tan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×