LIPIS: Warga emas di luar bandar yang mendapatkan rawatan berkala di hospital atau klinik kesihatan bukan sekadar urusan menaiki kenderaan dan mengambil nombor giliran, sebaliknya ia ujian ketahanan fizikal, kecekalan mental serta pengorbanan kewangan yang menuntut segalanya daripada tubuh makin uzur dan dompet yang makin menipis.
Perjalanan yang mengambil masa lebih sejam, di tambah tempoh menunggu sehingga lima jam untuk mendapatkan rawatan, sering menjadi cabaran terbesar, khususnya kepada warga emas yang hidup bersendirian apatah lagi tidak mempunyai pencen dan hanya bergantung kepada bantuan anak-anak atau kebajikan.
Disebabkan itu, ada antara mereka sanggup menahan kesakitan atau menangguhkan temu janji doktor kerana tidak mampu menanggung kos pengangkutan dan perbelanjaan lain sepanjang mendapatkan rawatan.
Namun bagi lebih 50,000 warga emas di Pahang, beban tersebut kini semakin ringan dengan adanya Kad Kesihatan Kasih Makmur atau juga dikenali ‘kad biru’ yang membolehkan mereka mendapatkan rawatan di klinik swasta panel lebih cepat dan mudah.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Hashim Hassan, 80, dari Kampung Bapong, Kuala Lipis berkata, sekeping ‘kad biru’ kini membawa perubahan besar dalam kehidupannya.
Bekas pemandu bas Interakota di Kuala Lumpur itu berkata, sebelum ini setiap kali penyakit kulit selulitis yang dihidapinya menyerang, warga emas itu terpaksa berdepan tempoh menunggu yang lama di hospital kerajaan.
“Apabila saya menerima kad ini, memang saya betul-betul tidak sangka. Bagi orang tua yang tidak ada pencen macam saya, bantuan ini besar maknanya, lebih-lebih lagi apabila mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan segera,” katanya ketika ditemui di Kuala Lipis.
Hashim berkata, dia disahkan menghidap penyakit kulit selulitis pada 2024 dan perlu mendapatkan rawatan secara berkala kerana ia boleh menyerang secara tiba-tiba.
“Sebenarnya saya memang lebih suka mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan tetapi kadang-kadang penyakit ini datang secara mengejut dan saya perlukan rawatan segera.
“Kalau pergi ke klinik swasta, doktor perlu memberikan suntikan dan kosnya boleh mencecah RM150 sekali rawatan. Biasanya dua bulan sekali saya memerlukannya. Kalau saya tidak menerima suntikan ketika penyakit ini menyerang, kudis boleh merebak hampir di seluruh kedua-dua belah betis,” katanya.
Menurutnya, pada usia emas, masa begitu berharga kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan keadaannya menjadi lebih serius.
“Dalam keadaan sudah uzur macam saya, ada masanya kita perlukan rawatan cepat kerana pergerakan pun sudah agak terbatas. Sebab itu saya rasa Kad Kesihatan Kasih Makmur ini memang bantuan yang sangat baik. Bagi saya, ia bukan sekadar bantuan biasa, tetapi seperti satu jaminan sepanjang hayat kepada warga emas.
“Saya rasa bantuan seperti ini memang tidak ada di tempat lain atau negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, selepas berhenti bekerja kira-kira 20 tahun lalu, semua simpanannya habis digunakan bagi menampung keperluan hidup.
Kini, bapa kepada enam anak itu menjalani kehidupan bersendirian dan hanya bergantung kepada bantuan anak-anak serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mula diterimanya kira-kira tiga bulan lalu.
“Alhamdulillah, sekarang saya menerima bantuan JKM dan ada pula Kad Kesihatan Kasih Makmur. Sekurang-kurangnya apabila saya sakit, saya tidak lagi terlalu risau memikirkan kos rawatan kerana ada tempat untuk saya mendapatkan rawatan dengan lebih cepat,” katanya.
Bagi warga emas itu, kad berwarna biru yang tersimpan di dalam dompet usangnya bukan sekadar kemudahan mendapatkan rawatan, sebaliknya menjadi simbol keprihatinan terhadap warga emas yang semakin memerlukan perhatian apabila usia meningkat.
PERTAMA KALI KE KLINIK SWASTA
Tidak jauh dari rumah Hashim, seorang lagi warga emas, Derani Had, 72, turut berkongsi kegembiraan apabila baharu menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur.
Tok Bilal Kampung Bapong itu berkata, sepanjang hidupnya, dia hanya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau klinik kesihatan kerana tidak pernah berkemampuan mendapatkan rawatan di klinik swasta.
“Saya belum pernah lagi pergi ke klinik swasta. Selama ini kalau sakit, saya pergi hospital atau klinik kesihatan sahaja,” katanya.
Derani yang tidak pernah berkahwin berkata, dia tinggal bersendirian sejak kira-kira 10 tahun lalu selepas kematian ibunya.
Katanya, masalah paru-paru yang dihidapinya menyebabkan pergerakan semakin terbatas, malah dia juga sudah tidak mampu memandu sendiri untuk mendapatkan rawatan.
“Kalau hendak pergi mendapatkan rawatan, biasanya ada orang yang akan bantu hantar kerana saya sudah tidak boleh memandu. Kalau perlu, saya tetap akan pergi mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut warga emas itu, dia bersyukur kerana akhirnya menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya kerana buat pertama kali berpeluang mendapatkan rawatan di klinik swasta sekiranya memerlukan rawatan segera.
“Dengan adanya kad ini, saya rasa ia peluang yang sangat baik untuk warga emas seperti saya mendapatkan rawatan di klinik swasta. Kalau selepas ini saya sakit dan perlu mendapatkan rawatan segera, sekurang-kurangnya saya ada pilihan selain hospital kerajaan,” katanya.
Walaupun masih belum menggunakan kemudahan itu, Derani yakin inisiatif tersebut akan banyak membantunya pada masa hadapan memandangkan setiap kali mendapatkan rawatan, dia memerlukan bantuan orang lain untuk menghantarnya.
Baginya, kemudahan itu bukan sekadar memberikan pilihan mendapatkan rawatan dengan lebih cepat, malah mengurangkan kebimbangan apabila berdepan masalah kesihatan secara mengejut.
KAD BIRU ‘PENYELAMAT’ WARGA EMAS
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan, ketika kos sara hidup dan perbelanjaan rawatan kesihatan terus meningkat, inisiatif Kad Kesihatan Kasih Makmur yang diperkenalkan kerajaan Pahang muncul sebagai antara ‘penyelamat’ puluhan ribu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
Katanya, ‘kad biru’ bukan sekadar bantuan kewangan, skim yang menawarkan manfaat konsultasi, pemeriksaan dan ubat-ubatan asas sebanyak RM500 setahun itu memberi peluang kepada golongan sasar mendapatkan rawatan awal di klinik panel swasta tanpa perlu terlalu memikirkan kos rawatan asas.
“Bagi tahun ini seramai 51,955 penerima disenaraikan menerima manfaat Kad Kesihatan Kasih Makmur di seluruh negeri. Sebanyak RM16 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program itu dan sehingga 30 Jun lalu, sebanyak RM4.7 juta sudah dibelanjakan oleh penerima.
“Jumlah tersebut dijangka terus meningkat sehingga tamat tempoh sah kad pada 31 Disember ini berdasarkan penggunaan semasa oleh penerima,” katanya.
Mengulas kemungkinan menaikkan nilai bantuan atau memperluaskan skim kepada kumpulan lain, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menilai penambahbaikan berdasarkan prestasi program serta kemampuan kewangan negeri.
“Buat masa ini, keutamaan ialah memastikan penerima sedia ada memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan dan program dilaksanakan secara berkesan serta berintegriti,” katanya.
Sabariah mengakui antara cabaran terbesar pelaksanaan skim ialah masih terdapat penerima, khususnya di kawasan luar bandar yang belum mengetahui kelayakan atau sebaliknya.-UTUSAN










