Jika tidak setuju harga ditawarkan, jangan terima - Nam Ron - Utusan Malaysia

Jika tidak setuju harga ditawarkan, jangan terima – Nam Ron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Nam Ron, berpendapat setiap pelakon mempunyai hak untuk mempertimbangkan tawaran berlakon berdasarkan bayaran yang ditawarkan bagi sesebuah projek.

Nam Ron atau Shahili Abdan, 56, berkata, sekiranya seseorang pelakon bersetuju menerima tawaran berkenaan, ia bermakna dia telah bersetuju dengan bayaran yang ditetapkan pihak produksi.

“Setiap pelakon boleh tolak kalau tidak bersetuju dengan bayaran rendah yang syarikat tawarkan, jangan terima.

“Saya selalu nasihatkan perkara ini kepada kawan-kawan, terutama pelakon baharu. Kalau sudah terima tawaran lakonan dengan harga rendah, janganlah pula bising di luar,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Terbang, di sini, baru-baru ini.

Menurut Nam Ron, dia berasa pelik apabila ada pelakon mempertikaikan bayaran yang diterima ketika sesuatu projek sedang berlangsung, sedangkan jumlah tersebut sudah dipersetujui sejak awal.

“Bila sudah terima amaun yang dipersetujui, tetapi selepas itu mengata pula di belakang, cakap produksi bayar murah dan tidak hargai bakat.

“Jangan ambil! Kalau dia tidak terima, tidak akan ada masalah.

“Kalau ambil, terima sajalah. Janganlah bila sudah setuju dengan tawaran, kemudian nak cakap buruk pula. Tidak eloklah begitu,” katanya.

Bagaimanapun, Nam Ron berkata, tiada salahnya seseorang pelakon meminta bayaran lebih tinggi sekiranya mempunyai portfolio kerja yang kukuh, termasuk pernah membintangi filem pecah panggung.

“Kalau nak ‘demand’ harga, permintaan tersebut perlu datang dengan bukti seperti filem lakonan sebelum ini pecah panggung, pernah menang anugerah, mempunyai jutaan pengikut di media sosial atau meraih sebarang pengiktirafan.

“Kalau berlakon kurang lima tahun tetapi ‘demand’ harga tinggi, sukar juga untuk produksi yang adakalanya mempunyai bajet rendah.

“Jadi, perlu wujud ruang untuk berunding supaya kedua-dua pihak dapat membentangkan sebab setiap harga itu diletakkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×