KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Caitlin Halderman mengakui masalah jerebu yang melanda Kuala Lumpur lebih teruk berbanding Jakarta kerana kedudukan geografi yang lebih dekat dengan Kalimantan.
Kata Caitlin, 26, bagaimanapun, Jakarta berdepan cabaran lain seperti gunung berapi Anak Krakatau meletus, baru-baru ini.
“Ya, keadaan jerebu masih parah. Cuma saya tinggal di Jakarta. Jadi sebenarnya Kalimantan lebih dekat ke sini daripada Jakarta.
“Jadi, saya pasti anda semua di sini lebih terkesan berbanding kami di Jakarta.
“Kerana kalau di Jakarta memang kita terkesan, tapi itu lebih kepada letusan gunung berapai kerana ia lebih dekat dengan kami,” katanya.
Caitlin ditemui Utusan Malaysia semasa Malam Gala dan tayangan perdana Viu Original – The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) di TGV Pavilion Damansara Heights, di sini, semalam.
Turut bersimpati dengan keadaan semasa, pelakon Menjelang Ajal ini turut berharap agar kebakaran di Kalimantan akan dapat diatasi dengan segera kerana kesannya dikongsi oleh beberapa negara.
“Sedih melihat keadaan masih berlanjutan sampai sekarang, dan saya harap saya boleh buat sesuatu. Semoga cepat selesai saja ya.
“Sebab saya tahu ia memberikan impak besar, maksudnya bukan cuma di Indonesia, tapi Singapura dan Malaysia juga. Jadi saya harap ia akan selesai segera,” katanya.
Dalam perkembangan lain, buat pertama kalinya Caitlin bekerjasama dengan produksi Malaysia menerusi siri The Hidden Hand menampilkan naskhah supernatural membabitkan misteri dalam sebuah keluarga.
“Sebelum ini saya pernah menerima tawaran beberapa kali cuma belum berkesempatan, kali ini mungkin menjadi rezeki saya.
“Ini adalah kali pertama saya shooting di sini, dan saya sukakannya. Saya sukakan orang Malaysia. Ia rasa seperti di negara sendiri, cuma saya di Malaysia bukan Indonesia. Saya pastinya akan kembali ke sini sekiranya ada peluang.
“Saya juga sempat terkejut sebab kalau di Indonesia, drama bersiri itu boleh membabitkan beratus-ratus orang. Di sini hanya lebih kurang 20 orang. Ia lebih intim dan buat kita lebih kenal semua yang terbabit,” katanya.
Turut sama menjayakan naskhah itu ialah Hannah Delisha, Datin Sri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi.











