PETALING JAYA: Pelakon Indonesia, Jefri Nichol tampil menjelaskan salah faham mengenai dirinya yang didakwa menggunakan kad kredit bekas kekasihnya, Ameera Khan, semasa tempoh bercinta.
Menurut Jefri, dia tidak pernah meminta bekas kekasihnya untuk membiayai keperluan perbelanjaannya.
“Untuk pengetahuan, saya tidak pernah meminta apa-apa, apatah lagi meminta untuk dibayar.
“Saya bekerja keras untuk diri sendiri dan keluarga. Saya juga sentiasa melakukan yang terbaik untuk menyediakan keperluan buat insan yang saya sayangi,” katanya menerusi hantaran Threads yang dipercayai ditujukan kepada adik selebriti, Neelofa, itu.
Jefri berkata, sekiranya terdapat pihak yang mendakwa sebaliknya, perkara tersebut sama ada tidak benar atau individu berkenaan tidak benar-benar mengenalinya.
“Jika ada berkata yang lain, maksudnya dia sedang menipu atau dia tidak kenal siapa saya,” katanya.
Bagaimanapun, Jefri berkata satu-satunya keadaan dia terpaksa mengguna kad kredit bekas kekasihnya adalah ketika mereka di Dubai, di mana ketika di mahu membelikan hadiah buat wanita itu.
“Semasa di Dubai saya mahu belikan sesuatu untuk dia tapi kad kredit saya sudah sampai had. Jadi pakai kad dia dulu.
“Saya mahu bayar kembali tapi dia tidak mahu, jadi saya bayar kembali menggunakan gelang Van Cleef,” tulisnya.
Katanya, dia bukan mahu membuka kembali cerita lama namun mahu membela diri kerana banyak pihak telah salah faham terhadapnya.
Terdahulu menerusi sesi siaran langsung, pempengaruh, Ameera Khan, berkongsi pernah menggunakan kad kredit miliknya untuk bekas kekasih namun terkilan kerana dirinya tetap dicurangi.
Walaupun Ameera tidak menyebut sebarang nama, namun rata-rata mengaitkan kisah itu dengan bekas kekasihnya Jefri Nichol. -UTUSAN










