MELAKA: Tidak adil untuk melabel seseorang sebagai penderhaka atau biadab sebelum memahami kedudukan sebenar sesuatu pertikaian, khususnya membabitkan institusi diraja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap pertikaian berkaitan kesultanan, adat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri perlu diteliti berdasarkan peruntukan serta kedudukan setiap institusi terlebih dahulu.
“Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara.
“Tugas kepimpinan utama ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan, sambil memelihara martabat institusi,” katanya ketika berucap pada Musyawarah Nasional Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Walaupun tidak menyebut secara khusus kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan, kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat menyentuh keperluan untuk semua pihak mengurus perbezaan berkaitan institusi diraja dengan penuh tertib dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja termasuk dalam keadaan sesuatu keputusan tidak menepati kehendak mana-mana pihak.
Katanya, UMNO terus menjunjung institusi diraja serta tertib Perlembagaan Persekutuan termasuk perkara berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan.
“Penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal, waima ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak kita.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan, teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan,” katanya. – UTUSAN











