Jangan letak syarat penyatuan parti politik Melayu

Jangan letak syarat penyatuan parti politik Melayu

MASHITAH IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu membuka ruang kerjasama tanpa syarat dalam memenuhi hasrat menyatukan parti-parti Melayu yang kini berpecah.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, semua pihak terma­suk UMNO perlu mengetepikan ego dan perbincangan perlu berasaskan kepentingan bersama khususnya membela nasib rakyat dan memastikan kepentingan orang Melayu serta umat Islam terus diberi perhatian.

Katanya, penyatuan juga tidak seharusnya menyekat penyertaan parti-parti Melayu selain UMNO dan Pas bagi tujuan mengurangkan permusuhan dan mencari titik persamaan dalam perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

“Penyatuan bukan isu pembahagian kerusi dan pilihan raya semata-mata. Bukan soal kamu bawa berapa kerusi, kamu ada berapa dan kamu nak bagi saya berapa.

“Yang penting ialah kepen­tingan bersama. Kalau kita kalah, bolehkah kita tetap diambil kira? Kalau kita ada pandangan, adakah kita masih dihormati? Kalau ada perkara yang boleh kita buat bersama, kenapa kita tidak duduk satu meja?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mashitah berkata, usaha membina penyatuan juga memerlukan kepercayaan yang kukuh antara parti kerana pengalaman lalu menunjukkan kerjasama politik yang dibentuk atas kepentingan tertentu boleh berakhir de­ngan perpecahan apabila wujud perbezaan kepentingan.

Katanya, setiap pihak perlu memahami bahawa penya­tuan politik bukan sekadar strategi mendapatkan kuasa, sebaliknya perlu disusuli de­ngan penyatuan dalam aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan nilai masyarakat.

“Kalau kita mahu bercakap tentang penyatuan, jangan ha­nya bercakap apabila pilihan raya sudah dekat. Penyatuan itu perlu lebih luas daripada politik.

“Politik memang mengenai kuasa kerana dengan kuasa kita boleh membawa perubahan dasar dan polisi. Tetapi kalau kita hanya sibuk berebut kuasa, banyak perkara yang berlaku kepada rakyat akan tertinggal,” katanya.

Mashitah berkata, rakyat ketika ini semakin memberi per­hatian kepada isu yang mem­beri kesan secara langsung terhadap kehidupan me­reka, termasuk kos sara hi­dup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak dan masa depan generasi muda.

Katanya, parti-parti Melayu perlu keluar daripada budaya saling menyerang dan membuktikan bahawa penyatuan yang dilaungkan benar-benar mampu membawa manfaat kepada rakyat.

“Rakyat sudah muak melihat politik yang asyik bergaduh dan saling mengata. Mereka mahu melihat tindakan. Mereka mahu berasakan ada parti yang benar-benar melihat permasalahan rakyat di bawah.

“Jadi, kalau benar mahu pe­nyatuan, jangan letakkan syarat. Jangan terlalu bangga dengan parti sendiri sehingga merasakan kita sahaja yang betul dan pihak lain semuanya salah. Kita perlu duduk bersama dan lihat apa yang boleh kita buat untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Menurutnya, kekuatan orang Melayu tidak semestinya terletak pada jumlah parti yang banyak tetapi pada keupayaan semua pihak mencari persamaan dan mengurus perbezaan secara matang.

“Bilangan lidi yang terasing tidak akan menjadi kekuatan kalau masing-masing mahu berdiri sendiri. Tetapi apabila lid­i-lidi itu diikat, ia menjadi lebih kuat.

“Begitu juga penyatuan po­litik. Ia boleh menjadi satu langkah pragmatik tetapi jangan berhenti di situ. Ia mesti disusuli dengan penyatuan ekonomi, pendidikan dan nilai supaya usaha itu tidak rapuh dan hanya bertahan sementara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×