MARAN: Bermula sekadar hobi selepas waktu mengajar, seorang pesara guru kini mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil kraf tangan sarung dan hulu senjata tradisional termasuk parang serta keris.
Khalib Samah, 69, yang tinggal di Perumahan Rantau Perintis, Bandar Pusat Jengka di sini berkata, dia mula berminat menghasilkan kraf tangan itu selepas melihat seorang penduduk dikenalinya sebagainya Awang menghasilkan pelbagai bentuk sarung dan hulu parang termasuk senjata lain ketika bertugas di sebuah sekolah rendah di Kampung Ulu Cheka, Jerantut pada 1984.
“Saya mula membuat kraf tangan selepas waktu mengajar hasil tunjuk ajar penduduk berkenaan walaupun pada mulanya agak sukar dan mengambil masa menyiapkannya.
“Lama-kelamaan tanpa jemu, saya boleh menguasai kemahiran berkenaan sehinggalah bertukar ke sekolah lain lalu meneruskan hobi berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khalib yang bersara pada 2015 sebagai guru kaunseling di sekolah menengah di Wilayah Jengka berkata, bermula sebagai hobi kini kreativitinya menghasilkan pendapatan lumayan.
Katanya, dia memilih kayu berkualti, jenis bercorak atau berteras seperti jus kayu, kemuning, sepetir, kenaung, cempedak, nangka, arang bunga dan batang kelapa untuk membuat kraf tangan tersebut.
“Proses dimulakan dengan melukis bentuk parang dan keris yang bersesuaian di atas kayu yang dipilih lalu dipotong dengan gergaji dan ditebuk menggunakan mesin penebuk di bengkel belakang rumah.
“Cantuman kedua belah kayu (sarung) dan hulu menggunakan gam kayu, manakala seterusnya kerja mencanai permukaan dilakukan menggunakan mesin serta kemudiannya menggosok dengan dengan kertas pasir supaya kelihatan licin,” katanya. – UTUSAN











